Isnin, 21 Ogos 2017 | 4:06pm

Indonesia tetap dibenarkan bertanding - ISTAF

KUALA LUMPUR: Indonesia tetap dibenarkan bertanding dalam acara sepak takraw Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) biarpun pasukan wanitanya menarik diri dan keluar gelanggang ketika aksi menentang Malaysia semalam berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Berikutan itu Indonesia dibenarkan menghantar pasukannya untuk menyertai acara Quadron sepak takraw yang akan diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader, berkata pihaknya juga akan memberikan sebutir pingat gangsa kepada pasukan sepak takraw wanita atas dasar semangat kesukanan dan menjaga hubungan baik antara negara ASEAN selari dengan semangat Sukan SEA.

Difahamkan, Indonesia akan berkongsi pingat gangsa dengan Filipina berdasarkan format kejohanan yang tidak mempunyai perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4.

Bagaimanapun, Abdul Halim berkata, ISTAF tetap akan mengambil tindakan tegas terhadap jurulatih takraw wanita Indonesia yang menjadi pencetus kepada isu penarikan diri regu wanita Indonesia, dalam acara terbabit.

Katanya, tindakan itu perlu berikutan bukti rakaman video yang diteliti pihaknya menunjukkan pengadil perlawanan terbabit membuat keputusan tepat membatalkan servis dilakukan tekong wanita Indonesia ketika menentang Malaysia, malam semalam.

"Tiada orang yang akan terlepas apabila melakukan kesalahan. Jadi kita akan mengambil tindakan sewajarnya tetapi ini semua akan ditentukan selepas kita menilai laporan dan video rakaman perlawanan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC).

"Apabila jurulatih Indonesia mengarahkan pasukan takraw wanitanya keluar dari gelanggang ketika perlawanan menentang Malaysia maka dia sudah melakukan kesalahan mengikut peraturan 15(3) pemainan sepak takraw di mana pegawai pasukan mesti menentukan setiap perlawanan berjalan lancar," katanya ketika sidang media di sini.

Terdahulu, skuad sepak takraw wanita negara meraih perak acara regu wanita pada KL2017, mengatasi pencapaian gangsa dua tahun lalu pada aksi di Stadium Tertutup Titiwangsa, dekat sini, semalam.

Terdahulu, Abdul Halim berkata, ISTAF berasa amat sedih dengan tindakan pasukan beregu wanita Indonesia menarik diri daripada perlawanan menentang Malaysia semalam kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

SETIAUSAHA Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader, ketika sidang akhbar berkaitan kedudukan pasukan Indonesia yang menarik diri ketika aksi menentang Malaysia semalam. - Foto Haika Khazi
Berita Harian X