KUALA LUMPUR: Atlet wushu negara, Phoon Eyin mengakui sudah cukup berpuas hati dengan apa yang dipersembahkannya selepas berjaya meraih dua perak pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Jelas atlet kelahiran Negeri Sembilan itu, pencapaian yang diraih di laman sendiri sudah membuktikan peningkatan ditunjukkan terutamanya selepas mengambil kira pencapaian di temasya Sukan SEA 2015 yang menyaksikan dia sekadar merangkul satu perak dan satu gangsa.
Bagaimanapun, pemenang emas acara qiangshu wanita di Sukan SEA 2013 itu mengakui perlu berusaha lebih keras dalam usaha meningkatkan lagi kualiti persembahannya memandangkan atlet negara lain yang bertanding menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
"Dua pingat perak di sini sudah membuatkan saya berpuas hati, namun saya akui banyak yang perlu saya pertingkatkan supaya dapat terus memberi cabaran dalam wushu pada temasya akan datang.
"Saya tewas tipis dalam dua acara yang disertai tetapi saya tidak kecewa. Saya sudah memberikan yang terbaik dan jurulatih turut menyatakan dia berbangga dengan apa yang sudah saya tunjukkan.
"Jadi, pengalaman beraksi di sini akan membantu saya memperkemaskan lagi persembahan bagi menghadapi Kejohanan Wushu Dunia 2017 di Kazan, Russia yang akan berlangsung bulan hadapan," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Hanya 0.01 mata membezakan atlet berusia 21 tahun itu dengan pingat emas acara
qiangshu wanita apabila catatan 9.66 matanya tidak berjaya mengatasi catatan 9.67 yang dilakukan atlet Vietnam, Duong Thuy Vi sementara pemenang pingat emas 2015, Oo Sandy darip Myanmar sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas mencatat 9.65 mata.
Sebelum memenangi pingat perak acara Qiangshu wanita, Eyin terlebih dulu merangkul pingat perak bagi acara jianshu wanita, namun dikecewakan dengan perbezaan 0.04 mata berbanding Thuy Vi yang mencatat 9.67 mata untuk pingat emas pada aksi hari pertama, kelmarin.