Ahad, 20 Ogos 2017 | 7:51pm
PEMAIN Malaysia, An Najwa Azizan pada aksi akhir bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara. - Foto Syarafiq Abd Samad
PEMAIN Malaysia, An Najwa Azizan pada aksi akhir bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara. - Foto Syarafiq Abd Samad
KELIBAT An Najwa (tengah) sentiasa jadi perhatian menerusi aksi tangkasnya. - Foto BERNAMA
KELIBAT An Najwa (tengah) sentiasa jadi perhatian menerusi aksi tangkasnya. - Foto BERNAMA
AN Najwa (kiri) cuba mendapatkan bola daripada pemain Singapura, Nurul Baizura Abd Razak (jersi merah) pada aksi akhir bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara. - Foto Syarafiq Abd Samad
AN Najwa (kiri) cuba mendapatkan bola daripada pemain Singapura, Nurul Baizura Abd Razak (jersi merah) pada aksi akhir bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara. - Foto Syarafiq Abd Samad

Ada sebab Najwa sukar senyum

KUALA LUMPUR: An Najwa Azizan cukup sukar 'menghadiahkan' senyuman ketika di dalam gelanggang bola jaring dan sebenarnya itulah petua yang sering diamalkan setiap kali mengharungi perlawanan.

"Itulah saya. Sentiasa serius dalam perlawanan. Tapi sebenarnya itulah cara saya untuk mengatasi rasa berdebar.

"Sebenarnya ketika beraksi, saya tidak lihat papan markah. Soal menang atau kalah, itu cerita lain," katanya yang tetap serius tatkala memberi sokongan kepada rakan-rakan lain walaupun ketika berada di bangku simpanan.

Raut wajah yang manis serta susuk tubuh yang tinggi melengkapkan pakej An Najwa Azizan sebagai pemain bola jaring terbaik negara, lebih-lebih lagi selepas berakhir dengan pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ini.

Sepanjang saingan berlangsung, kelibat An Najwa sentiasa jadi perhatian menerusi aksi tangkas dengan namanya dilaungkan peminat setiap kali bola sampai ke tangannya.

Foto hiasan.
Foto hiasan.

Malaysia merampas emas Sukan SEA daripada Singapura selepas menewaskan lawan itu 65-41 pada aksi final di Stadium Juara Bukit Kiara, petang tadi, sekali gus mengakhiri penantian 16 tahun skuad bola jaring dalam temasya dwitahunan itu.

Tiada siapa menyangka pembabitannya dalam bola jaring mengubah status sebagai antara wira negara apabila menjadi nadi utama kekuatan skuad bola jaring negara yang menghadiahkan emas bagi kontinjen negara di Stadium Juara Bukit Kiara pada temasya KL2017 ini.

Ia satu kejayaan yang manis apabila misi menamatkan kemarau 16 tahun akhirnya terlaksana.

Menceritakan detik bermulanya karier dalam bola jaring, An Najwa berkata ketika di sekolah rendah dia lebih cenderung dalam sukan lompat tinggi.

Namun segala-galanya berubah dan pembabitan dalam bola jaring bermula tujuh tahun lalu ketika beliau diajak menyertai latihan bola jaring, dan sejak itu cinta terhadap sukan berkenaan mula berputik.

"Saya mula bermain bola jaring ketika usia 13 tahun. Sebenarnya selepas tamat sekolah rendah, saya tidak tahu buat apa.

"Sejak memasuki Sekolah Sukan Kuala Lumpur (SSKL), saya diajak menyertai latihan bola jaring dan daripada detik saya mula meminati sukan ini," katanya

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Singapura, Najwa menyifatkan bahawa dendam kekalahan dua tahun lalu berbalas dengan penuh bermaruah.

"Saya puas terutamanya dapat menang dengan jurang yang agak jauh. Buat masa ini, saya tidak mahu fikirkan soal lain dan hanya mahu cuba fokus dan nikmati kejayaan ini," katanya ketika ditemui.

AN Najwa meraikan kemenangan bersama ahli keluarga selepas aksi akhir bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara. - Foto Syarafiq Abd Samad
AN Najwa meraikan kemenangan bersama ahli keluarga selepas aksi akhir bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara. - Foto Syarafiq Abd Samad

Biodata:

Tarikh lahir: 9 Ogos 1997

Tempat lahir: Ampang, Selangor

Bapa: Azizan Azmi

Ibu: Norsila Jaafar

Adik beradik: Anak keempat daripada lima beradik. Mewarisi bakat bersukan daripada bapanya, bekas pemain ragbi kebangsaan.

Tinggi: 175 sentimeter

Berat: 75 kg

Pendidikan: Sekolah Sukan Kuala Lumpur; Sekolah Sukan Bukit Jalil

Sukan:

  • Mula berjinak-jinak dengan bola jaring pada usia 13 tahun.
  • Aktif dalam sukan olahraga, khasnya acara lompat jauh.
  • 43 kaps bersama skuad kebangsaan sejak 2013.
  • Dipilih sebagai 'Pemain Paling Bernilai' ketika pasukan negara muncul juara.
  • Kejohanan Bola Jaring Asia 2016.
  • Posisi: Penyerang (GS)
Berita Harian X