Ahad, 20 Ogos 2017 | 6:18pm
ATLET wushu negara, (dari kiri) Loh Ying Ting, Yeap Wai Kin, Wong Son Weng dan Phoon Eyin bersama pingat yang dimenangi pada Sukan SEA KL2017 di Pusat Konvension Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Zulfadhli Zulkifli

YEAP Wai Kin beraksi dalam acara Jianshu lelaki pada Sukan SEA KL2017 di Pusat Konvension Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Zulfadhli Zulkifli
YEAP Wai Kin beraksi dalam acara Jianshu lelaki pada Sukan SEA KL2017 di Pusat Konvension Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Zulfadhli Zulkifli
AKSI Loh Ying Ting ketika memenangi pingat perak dalam acara Gunshu wanita di Pusat Konvension Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Khairull Azry Bidin
AKSI Loh Ying Ting ketika memenangi pingat perak dalam acara Gunshu wanita di Pusat Konvension Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Khairull Azry Bidin
AKSI bertenaga Loh Jack Chang ketika beraksi dalam acara Taijijian lelaki. - Foto Khairull Azry Bidin
AKSI bertenaga Loh Jack Chang ketika beraksi dalam acara Taijijian lelaki. - Foto Khairull Azry Bidin

Malaysia ungguli hari pertama wushu

KUALA LUMPUR: Skuad wushu negara muncul kontinjen paling cemerlang di Sukan SEA 2017 setakat ini, apabila menggondol tiga daripada lima pingat emas yang dipertandingkan pada hari pertama KL2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Malaysia memulakan dominasi pada acara sebelah pagi apabila menamatkan saingan Jianshu lelaki pada kedudukan satu-dua yang menyaksikan Yeap Wai Kin meraih pingat emas selepas melakukan catatan 9.67 mata dan rakan seperguruannya, Wong Wen Son yang mencatat 9.65 mata meraih perak.

Dua lagi acara yang dipertandingkan membolehkan Malaysia meraih pingat perak dalam acara Jianshu wanita menerusi Phoon Enyin yang ketinggalan hanya 0.04 mata di belakang pemenang emas dari Vietnam, Duong Thuy Vi sebelum Loh Ying Ting menghadirkan kilauan sama pada aksi Gunshu wanita menerusi 9.63 mata, ketinggalan 0.01 mata di belakang pemenang emas juga dari Vietnam, Hoang Thi Phuong.

Saingan sesi petang menyaksikan Malaysia terus unggul apabila membolot dua emas yang dipertandingkan dengan Loh Jack Chang menebus kehampaan di temasya Sukan SEA 2015 apabila merangkul emas acara Taijijian lelaki menerusi pungutan 9.63 mata, sebelum Diana Bong melengkapkan hari cemerlang skuad wushu dengan emas Nanquan wanita selepas meraih pungutan mata tertinggi 9.66 mata.

Sementara itu, pengurus pasukan wushu, Ho Ro Bin menyifatkan kejayaan mendominasi hari pertama sebagai permulaan baik buat mereka dan mampu dijadikan motivasi kepada atlet dalam usaha meraih lebih banyak pingat selepas ini.

"Berdasarkan tiga pingat emas dan tiga pingat perak yang dicapai hari ini, saya yakin banyak lagi kejayaan yang akan menyusul pada baki acara yang disertai dalam temasya kali ini.

"Dengan persembahan sebegini dan atlet dapat mengekalkan konsistensi, kita berada pada landasan yang tepat untuk mencapai enam pingat emas seperti yang disasarkan.

"Kejayaan ini adalah ganjaran atas usaha mereka yang begitu berdisiplin dan ada komitmen yang tinggi. Saya optimis kita tidak berdepan masalah untuk mendapatkan enam pingat emas itu," katanya ketika ditemui selepas tamat acara hari pertama.

Gelanggang wushu akan dibuka untuk dua hari lagi dengan enam pingat emas ditawarkan esok sementara enam lagi pada Selasa, membabitkan 17 pingat emas secara keseluruhan.

Berita Harian X