KUALA LUMPUR: Skuad bola jaring Malaysia menundukkan Singapura, 65-41 untuk merangkul pingat emas di saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (Kl2017), di Stadium Juara, sebentar tadi.
Kejayaan itu dianggap cukup manis selepas berjaya menamatkan kemarau pingat emas sejak 16 tahun lalu, ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2011.
Lebih menarik, skuad negara juga turut berjaya membalas dendam kekalahan kepada Singapura di pentas final ketika Sukan SEA 2015 di negara berkenaan.
Ketika itu, Malaysia tewas tipis untuk sekadar membawa pulang pingat perak.
Dalam aksi sebentar tadi, Malaysia mendahului selesa sejak suku pertama permainan sehingga tamat suku keempat untuk terus menceriakan hampir 1,000 penyokong yang memenuhi stadium.
Malaysia mengatasi Singapura 20-7 di suku pertama, 36-12 di suku kedua, 51-28 di suku ketiga, sebelum menamatkan permainan dengan jurang besar, 65-41 di suku keempat.
Pingat kepada pemenang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Datuk Suraya Yaacob.