Ahad, 20 Ogos 2017 | 2:00pm
ATLET wushu negara, Phoon Eyin raih pingat perak acara jianshu wanita di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Foto Khairull Azry Bidin
ATLET wushu negara, Phoon Eyin raih pingat perak acara jianshu wanita di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Foto Khairull Azry Bidin

Jackie Chan inspirasi Eyin raih perak jianshu

KUALA LUMPUR: Gerakan menarik yang sering ditunjukkan pelakon terkenal, Jackie Chan dalam filem menjadi inspirasi buat atlet wushu negara, Phoon Eyin untuk meraih pingat perak bagi acara jianshu wanita sukan wushu di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Jelas atlet berusia 21 tahun itu, gerakan pelakon berkenaan yang menampilkan banyak aksi mempertahankan diri, sedikit sebanyak membantu dia memperkemas lagi persembahannya di dalam gelanggang.

Nyata usahanya itu berbalas apabila berjaya merakamkan 9.63 mata bagi membolehkannya menggondol pingat perak bagi acara terbabit.

Malah, dia turut gembira apabila berjaya mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura. Pun begitu, kali ini lebih manis memandangkan ia dilakukan di hadapan penyokong sendiri.

"Secara keseluruhannya, saya gembira dengan persembahan saya dan mempertahankan pingat perak yang dimenangi sebelum ini sudah cukup baik untuk saya.

"Selepas meraih pingat perak dan ada satu lagi acara esok, saya optimis mampu untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian dua tahun lalu di mana saya berjaya merangkul satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

"Namun saya tetap akan memberikan yang terbaik," katanya ketika ditemui selepas tamat acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu dikecewakan dengan perbezaan 0.04 mata berbanding atlet Vietnam, Duong Thuy Vi yang mencatat 9.67 mata untuk pingat emas sementara Fung Hui Xin daripada Singapura terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mengutip 9.60 mata.

Mengulas lanjut perbezaan kecil yang menafikan peluangnya untuk memenangi pingat emas, Eyin menyifatkan kegagalan itu akan membakar semangatnya untuk memberikan persembahan yang terbaik pada temasya yang akan datang.

"Saya perlu memandang perkara ini secara positif dan tidak seharusnya menjadikan kekecewaan ini sebagai penghalang untuk masa akan datang.

"Malah, ini juga memberikan peluang untuk saya menilai apa yang perlu saya perbaiki di mana-mana kekurangan yang saya ada dan tampil lebih bersedia pada temasya selepas ini," katanya.

Berita Harian X