Sabtu, 19 Ogos 2017 | 6:02pm
ATLET wushu negara, Wong Weng Son (kiri) dan Phoon Eyin (kanan) bersama pengurus pasukan, Ho Ro Bin (dua dari kiri) dan jurulatih, Lim Yew Fai, bersedia untuk membuat kejutan pada KL2017 kali ini. - Foto Osman Adnan
WONG Weng Son giat menjalani latihan persiapan bagi menghadapi KL2017 di Gimnasium Majlis Sukan Negara (MSN). - Foto Owee Ah Chun

Wushu sedia tuai emas

KUALA LUMPUR: Peminat sukan tanah air boleh mengharapkan tuaian lumayan pingat emas daripada gelanggang wushu apabila saingannya membuka tirai di Pusat Konvensyen KLCC, esok.

Atlet wushu negara dianggap pencabar terkuat dalam lima pertandingan yang diadakan pada hari pertama.

Atlet Program Podium, Wong Weng Son mungkin menjadi penyumbang pertama apabila turun ke gelanggang dalam acara lelaki jianshu (edang bercabang).

Atlet 24 tahun itu gagal memenangi sebarang pingat dalam dua kemunculannya di Sukan SEA sebelum ini, namun keyakinan terpancar daripada wajahnya ketika ini selepas dia dinobat sebagai penyumbang emas pertama negara dalam acara yang sama di Kejohanan Piala Dunia Taolu di Fuzhou, China, tahun lalu.

Weng Son juga adalah penyumbang emas tunggal dalam Kejohanan Asia di Taiwan September lalu di mana dia turut memenangi acara itu.

Phoon Eyin juga tampak berada dalam kelas tersendiri untuk memenangi pingat emas keduanya dalam temasya Sukan SEA, selepas memenanginya pada edisi Myanmar 2013 dalam disiplin jianshu wanita, bersama-sama Aggie Cheah.

Juara dunia dan remaja Asia, Loh Ying Ting juga menjadi pencabar terkuat dalam acara gunshu wanita.

Atlet berpengalaman, Loh Jack Chang, seorang lagi atlet di bawah Program Podium, dijangka menyambung pungutan emas wushu dalam acara taijijian lelaki pada sebelah petang.

Tai Cheau Xuen dan Diana Bong turut dijangka menebus kehampaan mereka dalam acara nanquan selepas kecewa di Singapura, dua tahun lalu.

Kedua-duanya berkongsi keseluruhan lima pingat emas dalam disiplin itu sejak edisi di Thailand 2007.

Jurulatih kebangsaan, Lim Yew Fai berkata anak buahnya dijangka sudah bersedia untuk membuat kejutan dalam saingan kali ini.

"Mereka pasti tidak sabar bertanding dan menjadi kebanggaan Malaysia. Kami sudah bersedia sejak awal tahun lagi," katanya, hari ini.

"Kami sudah berdepan banyak cabaran sebelum Sukan SEA. Apa yang saya bimbangkan ialah kecederaan, tetapi ketika ini semuanya cergas.

"Seperti juga pasukan lain, kami hanya berkesempatan menguji gelanggang dua hari sebelum pertandingan sebenar."

Yew Fai berkata barisan atlet wushu negara kali ini lebih konsisten berbanding skuad Sukan SEA lalu.

"Semua ada peluang untuk memenangi acara masing-masing. Pasti bagus jika kita mampu mencapainya," katanya.

Pencapaian terbaik skuad kebangsaan ialah 6-2-5 yang dilakukan ketika Kuala Lumpur kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2001.

Jadual atlet wushu negara:

9.00 pagi -12.00 tengah hari

Lelaki jianshu akhir (Wong Weng Son, Yeap Wai Kin);

Wanita jianshu akhir (Aggie Cheah, Phoon Eyin);

Lelaki daoshu dan gunshu (Khaw Jun Lim);

Wanita gunshu akhir (Loh Ying Ting).

3.00 petang - 600 petang

Lelaki taijijian akhir (Loh Jack Chang);

Lelaki nandao dan nangun (Ho Mun Hua, Gjeblehim Bong);

Wanita nanquan akhir (Diana Bong, Tai Cheau Xuen).

Berita Harian X