Jumaat, 18 Ogos 2017 | 4:48pm
PEMAIN Malaysia,Yap Sou Kuen (kanan) cuba melepasi halangan daripada pemain Filipina pada aksi bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara, sebentar tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad
PEMAIN Malaysia,Yap Sou Kuen (kanan) cuba melepasi halangan daripada pemain Filipina pada aksi bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara, sebentar tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Malaysia berpesta jaringan, sahkan tiket separuh akhir

KUALA LUMPUR: Skuad bola jaring Malaysia mudah membenam Filipina dengan pesta jaringan, 96-11 dalam perlawanan keempat sebentar tadi, sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan separuh akhir selaku pendahulu pusingan kelayakan.

Tuan rumah tidak mensia-siakan peluang untuk mengumpul sebanyak mata sebaik saja saingan di suku pertama dimulakan apabila mengumpul 26-2 mata, diikuti 24-2, 25-3 dan 21-4 pada suku berikutnya.

Malaysia menamatkan saingan pusingan kelayakan dengan merekodkan kejayaan dalam empat perlawanan dan mengumpul lapan mata. Setakat ini, kejayaan menundukkan Filipina itu adalah jaringan terbesar pada temasya kali ini.

Pasukan negara yang diletakkan sandaran pingat emas bagi membaiki kekecewaan temasya dua lalu apabila tewas kepada Singapura dalam perebutan pingat emas, dijangka bertemu pasukan di tempat ketiga, Thailand dalam perlawanan separuh akhir, esok.

Thailand bagaimanapun berkongsi empat mata dengan pasukan di tempat kedua, Singapura apabila dibezakan menerusi jumlah jaringan.

Juara bertahan, Singapura dikatakan tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan posisi di tempat kedua apabila bertemu Thailand dalam perlawanan pusingan kelayakan terakhir pada jam 5.15 petang ini.

Jika Singapura mengekalkan kedudukan di tempat kedua, mereka akan bertemu Brunei dalam satu lagi perlawanan separuh akhir esok.

Berita Harian X