Jumaat, 18 Ogos 2017 | 2:43pm
ATLET memanah, Fatin Nurfatehah dan Mohd Juwaidi meraikan kemenangan dalam acara memanah compound berpasukan campuran Sukan SEA KL2017 di Padang MSN. - Foto Yazit Razali
ATLET memanah, Fatin Nurfatehah dan Mohd Juwaidi meraikan kemenangan dalam acara memanah compound berpasukan campuran Sukan SEA KL2017 di Padang MSN. - Foto Yazit Razali

Pemanah harap diserap ke Program Podium

KUALA LUMPUR: Pencapaian tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa memanah compound di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) membuktikan sukan ini tidak pernah mengecewakan di pentas antarabangsa.

Justeru, dua tunggak utama negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Mohd Juwaidi Mazuki berharap pencapaian yang dilakar dapat membolehkan atlet compound diserapkan ke Program Podium, program elit sukan negara.

"Saya harap dengan pencapaian di Sukan SEA kali ini, ada pemanah compound diserapkan ke dalam Program Podium kerana semua sedia maklum akan kelebihan dimiliki Program Podium dari segi kejohanan, perlawanan dan sumbangannya.

"Ia satu perkara yang positif jadi kami berharap ia dapat direalisasikan," kata Mohd Juwaidi ketika ditemui sejurus memenangi pingat emas acara compound berpasukan campuran bersama Fatin dalam KL2017 di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Harapan sama turut disuarakan pemanah dari Sabah, Fatin yang turut sependapat dengan Mohd Juwaidi kerana baginya dengan lebih banyak kejohanan di dalam Program Podium mampu meningkatkan prestasi atlet.

Buat masa ini seramai 117 atlet berada di dalam Program Podium dengan empat daripadanya adalah dihuni atlet memanah recurve iaitu Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Ikram Joni dan Muhammad Akmal Nor Hasrin.

Dalam perkembangan sama Mohd Juwaidi dan Fatin menyifatkan mereka tidak kecewa meskipun masing-masing terlepas pingat emas dalam acara individu ketika saingan hari pertama sukan memanah di KL2017.

"Bagi saya kekesalan terlepas pingat emas acara individu itu tidak ada kerana tidak diletakkan harapan tetapi saya berjaya bangkit dan tebus dalam acara berpasukan lelaki dan campuran," kata Mohd Juwaidi ketika mengulas mengenai pencapaian secara keseluruhan.

Sementara itu Fatin yang berlepas ke Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2017 di Taipei, Taiwan petang ini berharap kejayaan di KL2017 mampu membangkitkan lebih semangat juang kepadanya.

Malaysia hari ini memenangi emas dalam sukan memanah, kali ini disumbangkan pasangan compound berpasukan campuran negara, Fatin/ Mohd Juwaidi selepas mengutip 152 mata mengatasi pasangan Myanmar, Aung Ngeain / Ye Min Swe, 142 di final.

Berita Harian X