Rabu, 16 Ogos 2017 | 6:58pm
PEMAIN Malaysia,Yap Sou Kuen cuba menghalang pemain Singapura, Kimberly Lim (kiri) pada aksi bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara. - Foto Syarafiq Abd Samad
PEMAIN Malaysia,Yap Sou Kuen cuba menghalang pemain Singapura, Kimberly Lim (kiri) pada aksi bola jaring Sukan SEA KL2017 di Stadium Juara. - Foto Syarafiq Abd Samad

Malaysia benam musuh tradisi Singapura

KUALA LUMPUR: Misi skuad bola jaring negara merampas kembali emas dua tahun lalu semakin cerah apabila mendapat kelebihan psikologi selepas mencatatkan kemenangan menewaskan musuh tradisi Singapura 50-37 pada aksi ketiga peringkat kelayakan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara itu menyaksikan skuad negara yang mempraktikkan corak permainan agresif mendahului lawan sebaik bermula suku pertama.

Biarpun berlangsung sengit, aksi pantas pasukan negara membolehkan Malaysia mendahului dengan jaringan 14-11.

Langkah skuad bimbingan Tracey Robinson terus konsisten untuk menjarakkan kedudukan menerusi An Najwa Azizan yang menggalas tugas sebagai GS (goal shooter) meletakkan skuad negara di kedudukan selesa 27 berbalas 18 di akhir suku kedua.

Malaysia terus menjarakkan kedudukan pada suku ketiga apabila mendahului lawan dengan kelebihan 11 mata, seterusnya menyaksikan usaha Singapura untuk mengejar menemui kegagalan.

Seakan sudah mengakui kalah, rentak Singapura terus merudum pada babak terakhir.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengekalkan rekod bersih dalam semua perlawanan peringkat kelayakan.

Malaysia akan melengkapkan perlawanan peringkat kelayakan menentang Filipina pada jam 3 petang esok.

Berita Harian X