Selasa, 15 Ogos 2017 | 8:11pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama sebahagian atlet boling negara. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama sebahagian atlet boling negara. - Foto Luqman Hakim Zubir

Boling tumpu kekuatan mental

PETALING JAYA: Kekuatan mental skuad tenpin boling wanita negara adalah antara yang diberi perhatian ketika ini, bagi memastikan mereka mampu beraksi dengan cemerlang pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan membuka tirai Sabtu ini.

Penolong Pengurus skuad boling negara, Mohd Muzhafar Hamdan berkata skuad wanita kini dilihat mempunyai kekuatan yang seimbang dengan Singapura, dan keadaan ini boleh memberi tekanan kepada mereka ketika perlawanan nanti.

"Kita ada doktor yang memantau... setakat ini tahap kekuatan mental dan kesihatan mereka berada pada keadaan baik. Cuma kita dengan Singapura memang di tahap yang sama.

"Jangan lemah mental, jika mental mereka (pemain) kuat, memang kita (Malaysia) boleh menang," katanya kepada pemberita ketika menyaksikan latihan pasukan di Sunway Mega Lanes di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meluangkan masa melawat venue berkenaan dan menyaksikan enam atlet lelaki dan enam wanita negara menjalankan latihan di situ.

Mohd Muzhafar berkata, prestasi skuad lelaki kini berada dalam keadaan yang meyakinkan kerana mereka adalah antara yang terbaik dalam arena Sukan SEA ini.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun meraih lima pingat emas di Singapura pada 2015, skuad negara sekadar menyasarkan empat emas pada temasya kali ini, menerusi acara beregu campuran, trio lelaki, berpasukan lelaki dan berpasukan wanita.

Katanya, pertimbangan itu berdasarkan pelbagai faktor, antaranya prestasi semasa pihak lawan terutama Singapura yang menunjukkan aksi cemerlang pada kejohanan anjuran Persekutuan Pemain Boling Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

"Ketika Sukan SEA di Singapura lalu, kita anggap lima pingat emas itu sebagai bonus kerana kita tidak meletak sasaran setinggi itu, terutama bagi acara wanita kerana Singapura antara pesaing teratas untuk Malaysia ketika ini," katanya.

Skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Holloway Cheah itu meraih lima pingat emas serta satu perak dan empat gangsa pada edisi ke-28 di Singapura.

Sementara itu, ikon boling kebangsaan, Shalin Zulkifli berkata beliau dan rakan sepasukannya berasa teruja untuk menunjukkan prestasi terbaik kepada peminat sukan tanah air nanti.

"Boling adalah satu pertandingan yang sukar diramal, sebab setiap kali main, ia adalah final, jadi terpulang kepada atlet ketika hari pertandingan. Namun setiap kali bertanding, memang kami sasar untuk podium," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X