Selasa, 15 Ogos 2017 | 7:45pm
ATLET baling tukul besi negara Jackie Wong. - Foto Luqman Hakim Zubir
ATLET baling tukul besi negara Jackie Wong. - Foto Luqman Hakim Zubir

Tee Kui bakar semangat Jackie

KUALA LUMPUR: Mendapat inspirasi daripada pemenang lima pingat emas Sukan SEA Wong Tee Kui, atlet baling tukul besi negara Jackie Wong berharap dapat menamatkan kemarau 16 tahun bagi acara itu di Sukan SEA 2017, minggu depan.

Jackie berasal dari Sarikei, sama seperti Tee Kui yang menjadi atlet terakhir Malaysia memenangi emas acara baling tukul besi pada temasya 2001, kebetulan ketika Kuala Lumpur kali terakhir menjadi tuan rumah.

Pastinya ia bakal menjadi kemuncak kemanisan buat Jackie sekiranya ia mampu diulanginya pada 23 Ogos ini, apabila dia membuka langkah untuk memenangi emas selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa pada tiga penampilan lalu sejak 2011.

"Saya bertemu Tee Kui di kejohanan MAKSAK baru-baru ini dan kami ada berbincang mengenai beberapa perkara," kata Jackie, 25, ketika ditemui di Bukit Jalil.

"Kami berdua berasal dari Sarikei walaupun saya rasa dia kini bertugas di Sibu bersama pasukan polis. Dia ada bercerita mengenai pengalamannya dan bagaimana dia terpaksa berlatih tanpa jurulatih dan masih mampu memenangi lima pingat emas.

"Katanya atlet sekarang mempunyai kemudahan lebih baik dan jurulatih tetap dari China, tetapi perbualan kami tidak menjurus sangat kepada Sukan SEA."

Pemegang rekod kebangsaan itu berharap dapat menamatkan kemarau panjang dalam acara baling tukul besi, selepas deretan penguasaan emas sejak M Dattaya (1971, 1973, 1979), Samret Singh Dhaliwal (1985, 1989) dan Tee Kui (1991, 1993, 1995, 1999, 2001).

"Harapan saya ialah memberikan balingan terbaik," kata Jackie yang kini dilatih Gu Yuan dari China. "Emas tidak mustahil sekiranya saya dapat beraksi dengan baik.

"Saya sudah berlatih dan menyertai pertandingan, dan baru pulang selepas 40 hari berlatih di Korea Selatan. Kami berlatih bersama atlet kebangsaan negara itu, termasuk pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia (Lee Ywun-chul) dan ia memberi pengalaman yang berguna.

Jackie yang mempunyai balingan peribadi terbaik 65.34 meter yang dilakukan di Terbuka Korea pada Jun lalu, dijangka akan berentap dengan pemenang pingat perak 2015 dari Thailand, Tantipong Petchaiya selepas juara bertahan, Caleb John Stuart dari Filipina tidak mengambil bahagian.

Stuart mencipta rekod Sukan SEA di Singapura, 65.63m dan Jackie percaya jarak itu dalam jangkauannya untuk meraih emas.

Berita Harian X