Isnin, 14 Ogos 2017 | 5:02pm
PEMAIN Malaysia, Pow Mei Foong (tengah) diasak pemain Thailand pada perlawanan pusingan kelayakan Bola Jaring Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Osman Adnan
PEMAIN Malaysia, Pow Mei Foong (tengah) diasak pemain Thailand pada perlawanan pusingan kelayakan Bola Jaring Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Osman Adnan

Malaysia atasi Thailand acara bola jaring

KUALA LUMPUR: Pasukan bola jaring bimbingan Tracey Robinson memulakan usaha merampas emas dengan langkah kanan, apabila melakarkan kemenangan mudah ke atas Thailand, sebentar tadi.

Pasukan negara yang dikemudi oleh kapten pasukan, Nur Syafazliyana Mohd dilihat tidak berdepan masalah menundukkan Thailand 73-30 dalam saingan di Stadium Juara, Bukit Kiara, dekat sini.

Malaysia mendahului perlawanan pada suku pertama dengan keputusan 18-10 dan terus melebarkan penguasaan dengan kelebihan 20 mata pada suku kedua.

Memasuki babak ketiga gandingan An Najwa Azizan GS (gol shooter) dan Izyan Syazana Mohd Wazir (gol attack) semakin mantap apabila mengatasi lawan 52 berbalas 21 dan menamatkan perlawanan pertama dengan kemenangan mudah mengatasi Thailand 73 berbalas 30 mata.

PEMAIN Malaysia, An Najwa diasak pemain Thailand, Panchatturat pada perlawanan pusingan kelayakan Bola Jaring Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Osman Adnan
PEMAIN Malaysia, An Najwa diasak pemain Thailand, Panchatturat pada perlawanan pusingan kelayakan Bola Jaring Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Osman Adnan

Najwa yang dilihat menjadi nadi utama kejayaan skuad negara semalam bagaimanapun menegaskan kemenangan itu satu permulaan kepada misi merampas kembali emas yang terlepas ke tangan Singapura dua tahun lalu.

"Thailand bermain dengan baik dan memberi tentangan di awal perlawanan. Tapi kesemua pemain berjaya mengawal lawan untuk kembali menguasai perlawanan.

"Saya bangga dengan pasukan dan aksi yang konsisten sejak dari minit pertama sehingga wisel penamat menjadi kunci kejayaan hari ini," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan kedua menentang Brunei esok, Najwa berkata, pemain negara tidak boleh memandang mudah setiap lawan.

"Saya percaya percaturan jurulatih dan kesemua pemain boleh bermain dengan baik. Menentang Brunei nanti kami akan cuba perkara yang sama kerana setiap perlawanan ada satu permainan bahru," katanya.

Malaysia akan bertemu Brunei pada perlawanan kedua pada jam 5.15 petang esok.

Berita Harian X