Selasa, 8 Ogos 2017 | 4:44pm
DATUK Marina Chin (kanan) melihat persiapan atlet berbasikal negara bagi menghadapi temasya KL2017 di Velodrom Nasional Nilai. - Foto Hazreen Mohamad
DATUK Marina Chin (kanan) melihat persiapan atlet berbasikal negara bagi menghadapi temasya KL2017 di Velodrom Nasional Nilai. - Foto Hazreen Mohamad

Tiada acara dianggap lubuk emas - Marina

NILAI: Tiada acara yang dipertandingkan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) boleh dianggap sebagai lubuk emas kepada kontinjen negara, kata Datuk Marina Chin.

Sebaliknya, kata Ketua Kontinjen Malaysia itu, beliau melihat semua sukan boleh menyumbangkan pingat juara itu kepada negara.

"Saya tidak akan meramalkan basikal sebagai lubuk emas atau sukan lain-lain sebagai lubuk emas kerana saya tahu itu akan memberi lebih tekanan kepada mereka (atlet)," katanya selepas melawat Velodrom Nasional di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Marina berkata sebarang tindakan untuk menamakan sesetengah sukan sebagai lubuk emas adalah tidak adil bagi sukan lain.

"Atlet lain juga berlatih keras. Apa yang kita nak adalah wujudkan keadaan di mana mereka boleh fokus dan tidak berfikir hal-hal lain kecuali persembahan di Sukan SEA nanti," katanya.

Kali terakhir acara trek berbasikal dipertandingkan adalah di Sukan SEA 2011 Jakarta dengan kontinjen negara memenangi tujuh emas, dua perak dan satu gangsa.

KL2017 bakal menganjurkan acara trek di Velodrom Nasional di sini.

Mengenai pemilihan raja keirin dunia, Azizulhasni Awang sebagai antara pembawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian temasya yang akan bermula 19 Ogos ini, Marina berkata ia adalah satu pengiktirafan buat The Pocketrocketman yang merangkul emas pada Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, April lalu.

Berita Harian X