Selasa, 8 Ogos 2017 | 2:58pm
PENGARAH ADAMAS, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz. - Foto Goh Thean Howe

KL2017: ADAMAS sudah sedia laksana tugas

KUALA LUMPUR: Tinggal kurang seminggu lagi sebelum Sukan SEA ke-29 bermula pada 14 Ogos ini menerusi acara bola sepak, pelbagai pihak bekerja keras dalam tugas masing-masing bagi memastikan temasya sukan ini berjalan lancar.

Tidak terkecuali Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) yang bertanggungjawab untuk memantau penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet negara pada temasya sukan berkenaan yang secara rasmi dilancarkan pada 19 Ogos.

Pengarah ADAMAS, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menerusi temu bual khas dengan Bernama di pejabatnya baru-baru ini, memaklumkan seramai 60 pegawai terlatih dikenali sebagai 'Doping Control Officer' akan bertugas pada kali ini untuk mengambil sampel atlet negara dalam beberapa sukan terpilih.

Katanya, 60 pegawai berkenaan bertanggungjawab memantau penggunaan doping atlet negara di enam kluster yang ditetapkan dan mereka akan dibantu oleh beberapa pegawai pengiring yang dipilih Jawatankuasa Sukan Malaysia (MASOC).

Kluster berkenaan adalah Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil; Pusat Konvensyen Kuala Lumpur; Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Tuanku Abdul Halim; Putrajaya; Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan; dan dua kluster sampingan di kawasan Kuala Lumpur serta di Shah Alam dan Klang.

"Seramai 10 Doping Control Officer ADAMAS akan terbabit di setiap kluster berkenaan untuk mengambil sampel secara rawak daripada beberapa sukan tertentu," katanya.

Dr Ramlan memaklumkan ADAMAS diletakkan di bawah Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping pada Sukan SEA kali ini.

Katanya, bagi memastikan penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet tidak berlaku pada edisi kali ini, agensi itu turut bekerjasama dengan agensi antidoping dari negara yang bertanding seperti Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia selain kehadiran beberapa pemerhati bebas dari luar negara untuk memantau proses ujian doping yang dijalankan ketika berlangsungnya Sukan SEA 2017.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa seramai 500 orang atlet negara termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakara lulus dalam ujian doping yang dijalankan ADAMAS sebelum bermulanya Sukan SEA 2017.

Ini sekali gus membuktikan Malaysia selaku penganjur jelas tidak berkompromi dengan sebarang penggunaan bahan terlarang.

Mengulas lanjut, Dr Ramlan yang pernah menjadi Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-25 di Laos berkata atlet Paralimpik negara yang mengambil bahagian pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 September ini juga tidak terkecuali daripada ujian doping bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

"Hal ini kerana, kita menganggap mereka (atlet paralimpik) adalah atlet berprestasi tinggi. Jadi semua tatacara dan nasihat yang diberi adalah sama antara antara atlet normal dan atlet paralimpik, tidak ada beza.

"Cuma, kita kena berhati-hati dengan penggunaan 'therapeutic use exemption' (TUE) kerana ada dalam kalangan atlet paralimpik berkenaan mempunyai penyakit seperti kencing manis, diabetis dan sebagainya, mereka memerlukan ubat-ubatan khas," tegasnya.

Dr Ramlan, yang juga lulusan sarjana sains sukan daripada University of London, menjelaskan bahawa sampel air kencing yang diperoleh pada Sukan SEA 2017 akan dihantar kepada makmal yang mendapat pengiktirafan Agensi AntiDoping Dunia (WADA) iaitu di The National Dope Testing Laboratory (NDTL) di India

sebelum keputusan diperoleh dalam tempoh seminggu sehingga sebulan.

Beliau menegaskan ramai pihak yang keliru bahawa wujud dua sampel yang berbeza iaitu sampel A dan B apabila ujian doping dijalankan walaupun ia datang daripada satu sampel yang sama.

"Jika ujian sampel A mendapati atlet didapati positif, mereka boleh mencabar untuk membuka sampel B kerana kita mahu memberi keadilan kepada semua pihak namun kebiasaanya jarang berlaku dalam mana-mana kes, atlet berjaya memenangi kes doping masing-masing," kata Dr Ramlan, yang pernah terlibat dalam beberapa edisi Sukan SEA sebelum ini.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama lebih 26 tahun dalam bidang sains sukan menjelaskan terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penyalahgunaan bahan terlarang seperti meraih kelebihan ketika bertanding, kurangnya pengetahuan tentang doping, pengaruh rakan sebaya dan jurulatih selain melindungi kecederaan fizikal yang dialami ketika menjalani latihan atau menyertai pertandingan di dalam mahupun luar negara.

Antara bahan terlarang yang biasanya dikesan dalam kalangan atlet negara adalah anabolic steroid, sibutramine, propranolol dan diuretik yang dilarang di bawah kod Agensi Anti-Doping Dunia (Wada Code).

Sehubungan itu, Dr Ramlan menasihatkan atlet supaya tidak menggunakan bahan terlarang bagi mencapai kejayaan dalam masa singkat, sebaliknya mengaplikasikan penggunaan sains sukan dalam mengoptimumkan prestasi masing-masing bagi memburu kejayaan pada Sukan SEA kali ini.

Mereka juga perlu mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan sukan yang bertauliah sebelum mengambil ubat-ubatan tertentu bagi mengelakkan mereka terjebak dalam pengambilan bahan terlarang yang akan memusnahkan masa depan mereka selaku seorang atlet.

"Nasihat daripada jurulatih dan pakar-pakar sokongan sains sukan yang bertauliah akan membantu atlet meningkatkan tahap prestasi itu sepanjang tahun mengikut sukan masing-masing namun pada akhirnya, ia terpulang kepada atlet berkenaan.

"Seseorang atlet tidak akan mengambil risiko untuk merosakkan usaha beliau selama beberapa tahun hanya untuk mengejar kejayaan melalui jalan pintas," tegas Dr Ramlan. - BERNAMA

Berita Harian X