Sabtu, 5 Ogos 2017 | 4:56pm
ATLET boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. - Foto Osman Adnan
ATLET boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. - Foto Osman Adnan

KL2017: Boling sedia muncul juara sekali lagi

PETALING JAYA: Pemain tenpin boling negara sudah bersedia untuk mempertahankan kejuaraan mereka dalam sukan itu pada temasya Sukan SEA yang tinggal lebih kurang dua minggu saja lagi.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkata mereka tidak boleh mengumumkan sasaran pingat yang diletakkan tetapi pastinya mahu mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada temasya lalu di Singapura.

"Permainan boling adalah lebih kepada persiapan mental, bagaimana mereka sediakan diri mereka untuk pertandingan nanti.

"Saya yakin mereka (pemain negara) akan 'peak' pada masa yang tepat," katanya selepas lawatan ketua kontinjen negara, Datuk Marina Chin menyaksikan skuad tenpin boling negara berlatih di Sunway Megalanes di sini, hari ini.

SKUAD tenpin boling lelaki dan wanita yang akan mengalas cabaran negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Foto Osman Adnan
SKUAD tenpin boling lelaki dan wanita yang akan mengalas cabaran negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Foto Osman Adnan

Temasya lalu di Singapura menyaksikan skuad negara memenangi lima pingat emas, satu perak dan empat gangsa untuk muncul juara keseluruhan sekali gus mengetepikan saingan utama Singapura.

Pingat emas dimenangi dalam acara perseorangan lelaki, trio lelaki, pasukan lelaki, beregu wanita dan pasukan wanita.

Terdahulu, Marina berkata dia yakin skuad boling negara mampu memenuhi sasaran yang diletakkan mereka.

"Nampak daripada sesi latihan mereka tadi, pasukan boling nampaknya dalam keadaan baik.

"Jadi saya yakin yang mereka mampu memenangi pingat yang disasarkan nanti," katanya.

Marina berkata tekanan beraksi di laman sendiri pastinya ada namun atlet negara mendapatkan sokongan daripada pakar psikologi daripada Institut Sukan Negara (ISN) bagi membantu mereka.

Pada temasya kali ini, boling menawarkan 11 pingat emas dengan lima acara kategori lelaki dan lima acara kategori wanita sementara satu lagi beregu campuran akan menjadi taruhan.

Berita Harian X