Rabu, 8 Mei 2024 | 11:20pm
Pasukan Selangor FC tidak akan sertai aksi Piala Sumbangsih, Jumaat ini. - Foto BERNAMA
Pasukan Selangor FC tidak akan sertai aksi Piala Sumbangsih, Jumaat ini. - Foto BERNAMA

JDT menang percuma? Selangor tak sertai aksi Piala Sumbangsih

KUALA LUMPUR: Selangor FC memutuskan untuk 'tidak hadir' ke perlawanan Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Keputusan itu dibuat kelab terbabit selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan mereka untuk menunda aksi berkenaan.

Selangor FC dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan keputusan sukar untuk tidak hadir ke perlawanan itu diambil selepas penelitian dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak.

Kelab itu memaklumkan, ia berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku membabitkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam.

"Pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang sudah lama kelab ini nantikan.

"Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan," kata Selangor FC.

Semalam, BH Sukan melaporkan Selangor FC mengemukakan permohonan kepada MFL untuk menunda aksi Piala Sumbangsih atas faktor keselamatan.

MFL dalam kenyataan, hari ini, bagaimanapun menolak permohonan Selangor FC dan memutuskan bahawa semua perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang akan berlangsung minggu ini akan dijalankan mengikut jadual termasuk perlawanan Piala Sumbangsih.

Justeru, dengan keputusan yang dibuat Selangor FC itu berkemungkinan akan menyaksikan JDT bakal diberikan kemenangan percuma.

Keganasan terhadap pemain bola sepak ketika ini menggusarkan banyak pihak dengan pemain Selangor, Faisal Halim sedang dirawat di hospital selepas menjadi mangsa simbah asid, Ahad lalu.

Pemain JDT, Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam.

Berita Harian X