Isnin, 26 September 2022 | 12:16am
Husin sahkan KAFA tidak mampu nak bayar hutang kepada Zamsaham.
Husin sahkan KAFA tidak mampu nak bayar hutang kepada Zamsaham.

'Samanlah, kami tak mampu nak bayar'

KUALA LUMPUR: "Jika nak saman, teruskanlah kerana KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) sememangnya tidak mampu untuk bayar pinjaman itu."

Itu penjelasan KAFA terhadap kenyataan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang menyatakan badan induk bola sepak negeri itu berhutang dengannya kira-kira RM3.8 juta.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pihaknya mengetahui keputusan Norizam yang mahu menyaman mereka sebanyak RM3.93 juta, sekali gus menyerahkan situasi itu kepada peguam untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, ketika ini kantung KAFA sememangnya kering dan tidak mempunyai sumber pendapatan termasuklah jumlah tajaan yang terhad, sekali gus tidak mampu untuk membayar ansuran RM200,000 setahun.

"Mengenai tindakan beliau (Norizam), kami serahkan kepada peguam Kafa untuk berunding. Sekarang ini, bukannya kami tidak mahu bayar, cuma tiada sumber kewangan terutama selepas musim COVID-19.

"KAFA tiada aset termasuklah pasukan utama, jadi bagaimana mahu meraih pendapatan untuk persatuan.

"Jika beliau nekad untuk saman, teruskanlah kerana sememangnya KAFA tiada duit dan tak mampu menyelesaikannya," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mendedahkan KAFA berhutang dengannya kira-kira RM3.8 juta.

Menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini, Zamsaham mendedahkan disebabkan hutang itu, dia mengambil tindakan menyaman KAFA sebanyak RM3.93 juta.

Zamsaham sebelum ini dilaporkan membayar RM6.8 juta ketika proses mengambil alih pasukan The Red Warriors (TRW) daripada KAFA pada September 2020.

Menurut laporan, jumlah itu membabitkan RM3 juta bagi pembelian Kelantan FC dan RM3.8 juta lagi adalah pinjaman kepada KAFA bagi menyelesaikan hutang kepada pemain dan agensi tertentu.

Berita Harian X