Sabtu, 13 Ogos 2022 | 9:52pm
Pemain Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan ketika menentang PDRM FC pada perlawanan Liga Perdana 2022 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. - NSTP /NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pemain Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan ketika menentang PDRM FC pada perlawanan Liga Perdana 2022 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. - NSTP /NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kelantan kembali tersenyum

KOTA BHARU: Selepas rekod kemenangan di laman sendiri lebur di tangan Perak Rabu lalu, Kelantan FC kembali ceria apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC 2-1 dalam saingan Liga Perdana, petang tadi.

Kelantan bangkit mengutip tiga mata penuh menerusi gol Norshamil Abd Ghani pada minit ke-68 dan Mohamad Ikhwan Yazek (m77).

Bagaimanapun tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan apabila pelawat menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-30 menerusi G Durrkeswaran.

Bersambung babak kedua, Mohamad Ikhwan Yazek yang baru dimasukkan hampir menjaringkan gol penyamaan namun bola sepakannya melambung tinggi melepasi tiang gol.

Gol yang dicari Kelantan akhirnya muncul apabila sepakan percuma Norshamil menewaskan penjaga gol Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Sembilan minit kemudian, Ikhwan mengukuhkan kedudukan tuan rumah dengan gol kedua apabila melencongkan bola yang menerjah gawang pelawat.

Keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat menyaksikan Kelantan kembali menang di laman sendiri untuk mengumpul 35 mata.

Berita Harian X