Jumaat, 5 Ogos 2022 | 11:41am
Luis Campos dilantik sebagai pengarah sukan baharu Paris Saint-Germain. - Foto AGENSI
Luis Campos dilantik sebagai pengarah sukan baharu Paris Saint-Germain. - Foto AGENSI

PSG terap disiplin cara Campos

PARIS: Sekalipun berbelanja sakan sejak sedekad lalu, Paris Saint-Germain (PSG) masih gagal meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara.

PSG tersingkir di tangan Real Madrid pada pusingan 16 terbaik musim lalu dan pemilik kelab memutuskan untuk memecat pengarah sukan Leonardo dan jurulatih Mauricio Pochettino.

Pochettino digantikan oleh Christopher Galtier, yang menjelaskan perlu ada disiplin tinggi di kelab dan skuad kendaliannya.

"Anda perlu berdisiplin di dalam mahupun di luar padang," kata Galtier ketika kali pertama diperkenalkan sebagai jurulatih kelab berpangkalan di Paris itu.

Hasil daripada perubahan strategi itu, PSG mendapatkan khidmat Luis Campos sebagai pengarah sukan baharu.

Menurut akhbar L'Equipe, Campos mendapat kepercayaan penuh pemilik kelab untuk membuat percaturan nasib mereka.

Campos memaklumkan mengenai peraturan baharu pada hari pertama beliau bertemu pemain. Beliau menjelaskan peraturan akan dilaksanakan dan setiap orang wajib mematuhinya.

"Jika ada sesiapa yang tidak bersetuju, anda boleh meninggalkan kelab ini," katanya tegas bagi mengelak sebarang keraguan mengenainya.

Peraturan baharu di PSG antaranya seluruh skuad akan bersarapan dan makan tengah hari bersama-sama hinggalah tiada panggilan telefon dibenarkan dalam usaha Campos untuk merapatkan lagi hubungan sesama pemain dalam skuad itu.

Bagaimanapun, telefon bimbit tidak diharamkan di pusat latihan. Mungkin peraturan baharu yang paling kontroversi adalah larangan untuk berfoya-foya.

Campos dikatakan sudah mendapat info mengenai tempat yang sering dikunjungi pemain PSG pada waktu malam.

Langkah itu mendapat sokongan tidak berbelah bahagi Galtier, yang menyatakan "jika ada pemain yang melanggar peraturan ini, mereka akan disingkirkan. Tiada seorang pemain pun akan dikecualikan."

Setakat ini, tiada seorang pun pemain PSG membantah peraturan itu.

Pada tahun 2019, ketika Leonardo tiba, terdapat juga rancangan untuk menetapkan peraturan tertentu tetapi ia tidak berjaya dilaksanakan.

PSG menampilkan antara barisan serangan yang disegani di dunia dengan kehadiran trio Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Neymar namun setakat ini mereka hanya mampu menguasai kejuaraan Ligue 1 Perancis dan piala domestik.

Berita Harian X