Khamis, 28 Julai 2022 | 12:28pm
Penjaga gol Terengganu FC Muhammad Rahadiazli Rahalim cuba menghalang percubaan pemain Negeri Sembilan FC Herald Mark Goulon pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - Foto NSTP/Azrul Edham
Penjaga gol Terengganu FC Muhammad Rahadiazli Rahalim cuba menghalang percubaan pemain Negeri Sembilan FC Herald Mark Goulon pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - Foto NSTP/Azrul Edham

Kesilapan sendiri bawa padah - Nafuzi

SEREMBAN: Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menafikan ketiadaan penyerang import Kpah Sherman menyumbang kepada kekalahan 2-1 pasukan itu di tangan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Sebaliknya, pengendali berusia 43 tahun itu merumuskan kesilapan mudah dilakukan anak buahnya membolehkan Negeri Sembilan berjaya memanfaatkan peluang itu untuk mengutip tiga mata.

Katanya, Sherman tidak dapat beraksi kerana demam dan jentera serangan terpaksa disandarkan kepada gandingan Kipre Tchetche dan Faisal Halim.

"Ketiadaan dia (Kpah Sherman) bukan masalah kerana pemain yang lain juga boleh menjaringkan gol, tetapi kekalahan kita malam ini (malam tadi) kerana kesilapan dilakukan kita sendiri.

"Kita tidak sepatutnya kalah jika melihat kepada komitmen dan penguasaan bola yang baik sepanjang tempoh permainan kerana saya berpuas hati dengan kesungguhan mereka, malah berjaya menguasai permainan serta banyak mencipta peluang jaringan.

"Namun dengan sedikit kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan penjaga gol (Muhammad Rahadiazli Rahalim) yang mungkin ketika itu dia menghadapi tekanan, jelas menunjukkan ia menjadi faktor mempengaruhi keputusan malam ini," kata Nafuzi.

Negeri Sembilan berjaya membuka tirai jaringan menerusi Yashir Pinto pada minit ke-17, sebelum Kipre menyamakan kedudukan pada minit ke-19.

Bagaimanapun Gustavo Almeida tampil mengesahkan kejayaan skuad Hobin Jang Hobin selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-51, selepas dia memanfaatkan bola muntah akibat tangkapan kurang kemas Rahadiazli.

Mengulas lanjut, Nafuzi menegaskan pihaknya tidak boleh menghukum Rahadiazli semata-mata sebagai punca utama kegagalan pasukan itu meraih mata.

"Kita tidak boleh menghukum Rahadiazli semata-mata kerana dia masih muda dan ada potensi serta masa depan cerah, ini pengalaman baik untuk dia belajar supaya tidak berulang di masa hadapan, tapi kekalahan ini jelas merugikan pasukan," katanya.

Keterangan gambarNAFUZI Zain pada sidang media selepas perlawanan Liga Super malam tadi, yang menyaksikan Negeri Sembilan FC menewaskan Terengganu FC, 2-1. Foto Mohd Amin Jalil.

Berita Harian X