Khamis, 14 Julai 2022 | 10:37pm
Pemain JDT, Safiq Rahim giat menjalani latihan bersama pasukannya di Johor sebelum berlepas ke Kota Kinabalu hari ini bagi aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, malam esok. - Foto ihsan Johor Southern Tigers.
Pemain JDT, Safiq Rahim giat menjalani latihan bersama pasukannya di Johor sebelum berlepas ke Kota Kinabalu hari ini bagi aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, malam esok. - Foto ihsan Johor Southern Tigers.

Aksi `buku bertemu ruas' di Stadium Likas

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) harus tampil lebih agresif jika mahu mengembaiikan corak permainan konsisten bagi mengekalkan kedudukan teratas liga apabila bertandang ke Stadim Likas di berdepan Sabah FC pada aksi Liga Super, malam esok

Malah persembahan skuad yang bergelar Harimau Selatan itu tampak tempang selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Melaka United FC pada aksi liga di Stadium Hang Jebat, 2 Julai lalu mengundang persoalan kemampuan skuad kendalian Benjamin Mora beraksi di tempat lawan.

Walaupun JDT baru menempuh sembilan perlawanan berbanding Sabah FC yang sudah mengharungi 10 perlawanan tapi dari segi pungutan mata skuad Harumau Selatan hanya berkelebihan satu mata ke atas Sang Badak selepas mengutip 23 mata sekali gus kedudukan itu belum selamat untuk kekal di tangga teratas liga.

Justeru, Mora harus merancang strategi yang lebih ampuh untuk `menawan Likas' yang dianggap kubu kuat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee tatkala Sabah FC pastinya ingin menceriakan penyokong skuad The Rhinos yang bakal membanjiri Stadium Likas.

Apapun, Kim Swee terpaksa melupakan khidmat Stuart James Wilkin dan Irfan Fazail yang juga pemain pinjaman dari JDT dan kedua-dua pemain itu diketepikan untuk aksi menentang pasukan yang muncul juara liga lapan musim berturut-turut.

Di kem JDT, Mora mengharapkan kelibat Bergson Da Silva kembali pulih bagi menguatkan semula jentera serangan selepas mengalami kecederaan ketika aksi menentang MU, baru-baru ini dan kelibat import dari Brazil itu amat ditagih selepas Fernando Forestieri bagaikan kehilangan rentak apabila beraksi tanpa Bergson.

Mora juga perlu memantapkan lagi posisi tengah bagi menghalang kelicikan dua tonggak Sabah FC iaitu Baddrol Bakhtiar dan pemain import dari Jepun, Taiki Kagayama selain perlu juga menyekat larian pantas pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani.

Persoalannya, adakah Mora akan menyenaraikan pemain import termahal Liga Malaysia musim ini iaitu Jordi Amat bakal membuat penampilan pertama bagi mengukuhkan benteng JD? Semuanya bakal terjawab apabila senarai akhir kesebelasan utama Harimau Selatan diputuskan sebelum pasukan itu turun beraksi di Stadium Likas, malam esok.

Sememangnya sasaran tiga mata menjadi sandaran buat JDT kerana aksi menentang Sabah FC ibarat ujian getir buat anak didik Mora bukan sahaja mahu kekal di tangga teratas malah ingin memastikan rekod tanpa kalah pasukan itu tidak tercalar.

Berita Harian X