Rabu, 6 Julai 2022 | 11:24pm
Pemain TFC, Faiz Nasir (dua kanan) meraikan jaringannya pada aksi pusingan kedua Piala FA menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Pemain TFC, Faiz Nasir (dua kanan) meraikan jaringannya pada aksi pusingan kedua Piala FA menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori

TFC layak suku akhir Piala FA selepas singkir Kedah

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) mara ke suku akhir Piala FA selepas menumpaskan Kedah Darul Aman FC 1-0 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, di sini, yang berakhir sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Nafuzi Zain bakal bertemu bekas gurunya, Irfan Bakti Abu Salim yang kini membimbing pasukan Kuching City FC.

Skuad Penyu yang masih segar hasil kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC Ahad lalu dalam saingan Liga Super bermula garang apabila hampir mendahului pelawat pada minit pertama.

Namun percubaan penyerang utamanya, Kpah Sherman berjaya dihalang penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kasim yang turut berperanan sebagai kapten pasukan.

Bagaimanapun lima minit berselang, stadium yang dibanjiri 11,700 peminat setia kembali bergema apabila pemain paling rendah dalam padang, Faiz Nasir yang juga dikenali 'Messi Terengganu' menanduk masuk hasil umpanan Mohd Faisal Halim untuk mendahului 1-0.

TFC yang mendominasi permainan terus bernafsu untuk memburu gol tambahan dengan mengasak bertali arus ke kubu pelawat dalam aksi berintensiti tinggi itu, namun berjaya dipatahkan pertahanan skuad Kenari.

Peluang terbaik buat tuan rumah memperoleh gol kedua hadir pada minit ke-24 menerusi percubaan Faisal, namun Mohd Ifwat Akmal lebih pantas menghalang cubaan pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Pemain TFC, Kpah Sherman (dua kiri) diasak pemain Kedah Darul Aman FC, Rodney Akwensivie dalam satu aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum ini. - Foto Ghazali Kori
Pemain TFC, Kpah Sherman (dua kiri) diasak pemain Kedah Darul Aman FC, Rodney Akwensivie dalam satu aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum ini. - Foto Ghazali Kori

Begitu juga percubaan pemain yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' itu pada minit ke-42 hasil hantaran Sherman berjaya dihalang pertahanan pelawat sekali gus melegakan kem TFC.

Sepanjang babak pertama hanya satu percubaan tepat dimiliki pelawat menerusi rembatan leret pemain gantian, Mohd Fayadh Mohd Zulkifli pada minit ke-45 yang mudah ditangkap penjaga gol, Suhaimi Husin.

Pada minit ke-50, skuad Penyu terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas pertahanan import dari Senegal, Pape Diakite dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob kerana mengasari penyerang lawan, Wanja Ngah.

Sedar kerap diasak, Nafuzi melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Muhammad Hairiey Hakim Mamat, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob, Zuasyraf Zulkiefle dan Syafik Ismail untuk mengimbangi kekuatan lawan yang memiliki kelebihan seorang pemain.

Taktikal itu berjaya menghalang lawan daripada mendapatkan jaringan hingga tamat perlawanan dengan kedudukan kekal 1-0 memihak kepada tuan rumah.

Berita Harian X