Selasa, 5 Julai 2022 | 10:21pm
Ifedayo (kiri) menjaringkan gol Melaka United ketika menentang Selangor pada aksi Liga Super. Foto FB Melaka United
Ifedayo (kiri) menjaringkan gol Melaka United ketika menentang Selangor pada aksi Liga Super. Foto FB Melaka United

Ifedayo buat Selangor menangis

MELAKA: Dua jaringan Ifedayo Olusegun berjaya membantu Melaka United (MU) membenam bekas pasukannya, Selangor FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus mengakhiri kemarau kemenangan skuad Hang Tuah ke atas Red Giants yang kali terakhir dilakar pada 21 Julai 2018.

Bagaimanapun aksi perlawanan kurang menarik sepanjang 26 minit awal permainan tanpa percubaan bahaya daripada kedua-dua pasukan dengan pergerakan bola banyak lebih berlegar di bahagian tengah padang.

Walaupun tuan rumah dan pelawat cuba memasuki kotak penalti namun pergerakan penggempur mereka sering tersekat dengan kawalan baik benteng pertahanan kedua-dua pasukan.

Namun ketika Selangor yang lebih banyak melakukan asakan, Melaka mengambil kesempatan melakukan gerakan dari sebelah kanan gawang lawan menerusi hantaran lintang Sony Norde yang disudahkan dengan baik Ifedayo untuk menghadiahkan jaringan pembukaan tuan rumah.

Gol pada minit ke-39 itu bagaimanapun jelas membakar semangat pelawat untuk memburu jaringan penyamaan namun sepakan percuma Mukhairi Ajmal pada minit ke-41 gagal disambut Herlison Caion.

Bersambung babak kedua Selangor terus berusaha mencari jaringan penyamaan namun percubaan Quentin Cheng pada minit ke-50 terus ke dakapan penjaga gol Melaka, Tian Keat See.

Kejayaan mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 Sabtu lalu lalu jelas meningkatkan momentum tuan rumah untuk beraksi lebih baik pada aksi terbabit dalam masa sama bijak menyerap asakan pelawat untuk melakukan serangan balas pantas.

Hasilnya, Ifedayo berjaya meledak gol kedua skuad Hang Tuah selepas menerima hantaran jauh pada minit ke-57 untuk menewaskan pertahanan Selangor seterusnya menggelecek penjaga gol, Samuel Somerville bagi jaringan keduanya pada perlawanan itu.

Kemenangan itu membolehkan Melaka kini berada di tangga kelapan liga sementara Selangor di kedudukan ketujuh dengan masing-masing mengumpul 12 mata.

Berita Harian X