Selasa, 5 Julai 2022 | 8:05pm
Pemain Terengganu FC, Mohd Faisal Halim meraikan jaringan gol sambil penjaga gol Sri Pahang FC Mamadou Samassa (jersi biru) tidak berpuas hati terhadap jaringan penalti pemain tersebut pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin. - NSTP/Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC, Mohd Faisal Halim meraikan jaringan gol sambil penjaga gol Sri Pahang FC Mamadou Samassa (jersi biru) tidak berpuas hati terhadap jaringan penalti pemain tersebut pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin. - NSTP/Ghazali Kori

'Dia salah, saya pun salah'

KUALA LUMPUR: Penyerang Terengganu FC (TFC), Faisal Halim menegaskan bahawa tiada apa-apa isu besar yang membabitkan dirinya dengan penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa.

Sebaliknya, pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu menjelaskan dia dan Samassa saling berdamai sejurus selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin.

Katanya, insiden itu menjadi agak besar selepas terdapat segelintir pihak yang membuat pelbagai andaian sendiri terutama di media sosial.

"Tak ada apa pun, orang saja buat andaian sendiri. Sama-sama mulakan, tak kata saya betul dan tak kata saya salah. Dia salah, saya pun salah. Biasalah bola sepak, kita berlawan.

"Dia bagus, profesional, habis perlawanan dia datang bersalam dan cakap minta maaf. Saya pun minta maaf dan dia pun faham benda itu. Kalau kita tengok di luar negara pun ada benda itu berlaku.

"Sama dengan apa yang saya buat, cuma reaksi penjaga gol itu yang bertindak balas atau tidak, itu saja bezanya. Situasi sekarang ini apabila saya buat, dia bertindak balas. Dia kejar saya, kalau dia buat tak tahu tak ada apa pun.

"Kita pun nak bantu pasukan kita menang dan dia pun nak bantu pasukan dia menang. Dia menjadi panas sebab penalti itu dua kali," katanya kepada BH Sukan.

Insiden panas itu tercetus selepas Faisal dilihat meraikan jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-80 dengan menjatuhkan badan di depan gawang Sri Pahang seolah-oleh meniru aksi Samassa.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan Samassa yang dilihat meluru ke arah Faisal, namun beberapa pemain TFC dan pengadil perlawanan sempat menahan penjaga gol tinggi lampai itu.

Namun, berdasarkan video yang tersebar di media sosial, Samassa juga dilihat seakan bercakap sesuatu dengan Faisal sebelum sepakan penalti itu dilakukan.

Selain itu, Faisal menjelaskan bahawa dia tidak terlalu memikirkan kecaman yang dilontarkan netizen, namun menganggap ia sebagai satu pengalaman atau pengajaran supaya tidak berulang lagi pada masa akan datang.

"Benda ini bukan saya pergi tumbuk atau terajang orang, ini provokasi. Dia provok saya, saya pun kena ada kekuatan mental saya juga. Saya nak berhadapan dengan dia untuk sepak penalti.

"Sekiranya saya sepak tak masuk bola itu, seminggu saya tak duduk rumah sebab perlawanan itu akan seri. Jadi saya kena main psikologi juga, tapi tak ada sebarang perkataan kesat.

"Cuma perbuatan saja. Orang salah anggap cakap attitude (sikap) tak baik apa semua, mereka tak faham benda itu spontan, bukan niat apa pun," katanya.

Berita Harian X