Ahad, 3 Julai 2022 | 11:11pm
Pemain Terengganu FC, Nik Mohd Shariff (kiri) diasak pemain Sri Pahang FC, Nicholas Swirad pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC, Nik Mohd Shariff (kiri) diasak pemain Sri Pahang FC, Nicholas Swirad pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori

Status Gergasi Pantai Timur milik TFC

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) mengesahkan statusnya sebagai Gergasi Pantai Timur selepas berjaya menjinakkan skuad Sri Pahang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, sebentar tadi.

Skuad kendalian Nafuzi Zain yang melakukan perubahan taktikal berbanding pertemuan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) Rabu lalu hanya memerlukan 52 saat untuk mendahului skuad Tok Gajah 1-0.

Gol itu terhasil menerusi tolakan mengelirukan penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman yang sebelum itu mendapat umpanan pemain tengah, Petrus Shetembi sebelum berjaya menewaskan penjaga gol tinggi lampai kelahiran Mali, Mamadou Samassa.

Skuad kendalian Christophe Gamel yang menurunkan empat tonggak import hampir menyamakan kedudukan pada minit keempat, namun sepakan percuma Kevin Ingreso sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol tuan rumah.

Skuad Penyu yang menerapkan formasi 4-5-1 hampir mendapat jaringan kedua pada minit ke-21, bagaimanapun rembatan padu Manuel Ott berjaya ditepis keluar penjaga gol sekali gus terselamat pintu gol pelawat.

Bersambung babak kedua, giliran Shetembi mendapat peluang terbaik untuk mencetak nama sebagai penjaring, namun sekali lagi penjaga gol bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain kelahiran Namibia itu.

Pada minit ke-66, Sherman perlu menyalahkan diri sendiri apabila peluang terbaik ketika hanya berdepan dengan penjaga gol gagal diterjemahkan dengan jaringan sekali gus melegakan kem pelawat.

Dua minit berselang, kem TFC patut berterima kasih kepada pemain pertahanan, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni apabila dia berjaya menyelamatkan bola di atas garisan gol hasil percubaan Abdul Malik Mat Ariff.

Pemain TFC, Azam Azmi Murad (tengah) diasak pemain Sri Pahang FC, Mohd Azwan Aripin (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori
Pemain TFC, Azam Azmi Murad (tengah) diasak pemain Sri Pahang FC, Mohd Azwan Aripin (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori

Percubaan berterusan tuan rumah untuk mendapat gol kedua akhirnya berhasil apabila pengadil, Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-75 selepas Faisal Halim dikasari pertahanan pelawat, Mohd Shahrul Aizad Zukufli.

Bagaimanapun sepakan pertama diambil Faisal berjaya ditampan penjaga gol, tapi pengadil memberikan sepakan penalti semula selepas kesilapan penjaga gol yang terlebih dahulu keluar, Faisal yang ditugaskan mengambil sepakan itu berjaya meledak gol kedua pada minit ke-80.

Ketika permainan sebenar berbaki empat minit sebelum ditamatkan, Abdul Malik berjaya meledak gol pertama pasukannya selepas bijak memperdaya penjaga gol, Suhaimi Husin untuk merapatkan kedudukan 2-1 hingga tamat perlawanan.

Berita Harian X