Ahad, 3 Julai 2022 | 1:08pm
Juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal sebagai skuad paling bernilai dalam Liga Super musim ini dengan harga pasaran mencecah 7.79 juta pound (RM41.5 juta). - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal sebagai skuad paling bernilai dalam Liga Super musim ini dengan harga pasaran mencecah 7.79 juta pound (RM41.5 juta). - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JDT kekal skuad paling bernilai

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal sebagai skuad paling bernilai tinggi dalam Liga Super musim ini dengan harga pasaran mencecah sebanyak 7.79 juta pound (RM41.5 juta).

Nilai anggaran itu ditetapkan oleh laman web www.transfermarkt.co.uk berdasarkan jumlah keseluruhan harga pasaran pemain yang dimiliki skuad Harimau Selatan.

Jumlah itu turut dipengaruhi dua pemain yang baharu diumumkan kelab berkenaan yang memiliki nilai pasaran termahal iaitu Jordi Amat dan Daniel Ting.

Nilai pasaran Jordi yang ditetapkan laman berkenaan sekitar 900,000 pound (RM4.8 juta) manakala Ting yang juga bekas pertahanan KL City bernilai 113,000 pound (RM602,131).

Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor muncul pasukan kedua yang memiliki skuad termahal dalam Liga Super musim ini dengan nilai pasaran pemain mereka dianggarkan bernilai 3.41 juta pound (RM18.1 juta).

Hyuri Henrique menjadi pemain paling bernilai tinggi skuad Gergasi Merah dengan nilai pasaran 495,000 pound (RM2.6 juta) selain penyerang berbisa mereka, Herlison Caion memegang tanda harga 338,000 pound (RM1.8 juta).

Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC pula berkongsi kedudukan ketiga dengan anggaran nilai pasaran keseluruhan pemain mereka berjumlah 3.12 juta pound (RM16.6 juta).

Perancang tengah dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi yang baru ditandatangani Kedah pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini muncul pemain termahal skuad Sang Kenari iaitu 293,000 pound (RM1.5 juta).

Pasukan yang sedang bergelut dalam Liga Super musim ini, Sri Pahang berada di kedudukan keempat apabila skuad Tok Gajah diletakkan tanda harga 3.06 juta pound (RM16.3 juta).

Juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City (KL City) bernilai 2.97 juta pound (RM15.8 juta), mengatasi jaguh Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) yang memiliki skuad 2.92 juta pound (RM15.5 juta).

Pasukan tangga tercorot, Penang FC pula diletakkan tanda harga 2.47 juta pound (RM13.1 juta) dan PJ City yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan pula dianggarkan bernilai 2.14 juta pound (RM11.4 juta).[

Nilai kelab Liga Super Malaysia

1. JDT 7.79 juta pound (RM41.5 juta)

2. Selangor 3.41 juta pound (RM18.1 juta)

3. Kedah 3.12 juta pound (RM16.6 juta)

4. Sabah 3.12 juta pound (RM16.6 juta)

5. Sri Pahang 3.06 juta pound (RM16.3 juta)

6. KL City 2.97 juta pound (RM15.8 juta)

7. TFC 2.92 juta pound (RM15.5 juta)

8. Penang 2.47 juta pound (RM13.1 juta)

9. Negeri Sembilan 2.44 juta pound (RM13 juta)

10. PJ City 2.14 juta pound (RM11.4 juta)

11. Melaka United 1.98 juta pound (RM10.5 juta)

12. Sarawak United 1.81 juta pound (RM9.6 juta)

Berita Harian X