Sabtu, 2 Julai 2022 | 6:09pm
Che Rashid Che Halim tekad membantu Negeri Sembilan FC mempertahankan reputasi mereka ketika berdepan Sabah FC, malam esok. Foto Ihsan NSFC
Che Rashid Che Halim tekad membantu Negeri Sembilan FC mempertahankan reputasi mereka ketika berdepan Sabah FC, malam esok. Foto Ihsan NSFC

NSFC tekad pertahan reputasi

SEREMBAN: Selepas memperaga aksi mantap menewaskan Sri Pahang FC, minggu lalu, Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak rela rekod cemerlang itu lebur apabila menentang Sabah FC, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Minggu lalu skuad Hobin Jang Hobin mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sri Pahang di gelanggang sama.

Pemain pertahanan, Che Rashid Che Halim, berkata dia dan rakan sepasukan akan memberikan persembahan terbaik dan mahu memastikan tiga mata kekal milik pasukannya.

Menurutnya, kemenangan diraih ke atas Sri Pahang, bakal menjadi pembakar semangat buat semua pemain untuk mengekalkan persembahan terbaik dan memastikan kemenangan.

"Insya-Allah, saya dan rakan sepasukan akan bserusaha memberikan persembahan terbaik dengan nemastikan tiga mata kemenangan kekal dalam gengaman pasukan.

"Biarpun cabaran berdepan Sabah kali ini berbeza berbanding ketika kami bertemu pada aksi awal musim, tapi kami sudah bersedia untuk memastikan kelebihan yang kami miliki ini dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mendapatkan kemenangan.

"Kami tidak rela tiga mata yang amat berharga itu terlepas ke tangan pasukan lawan, ketika peluang beraksi di laman sendiri yang memberi kelebihan," katanya.

Pertembungan kedua-dua pasukan ini dijangka sengit mengambil kira kedudukan mereka yang masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga Liga Super ketika ini.

Berita Harian X