Jumaat, 1 Julai 2022 | 12:38pm
Aidil bersama pemain meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN.
Aidil bersama pemain meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN.

Pemain Kedah layak 'berpesta' - Aidil

KUALA LUMPUR: Lupakan seketika PSM Makassar, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC harus 'menikmati' seketika pencapaian mereka selepas mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak menjelaskan dia mahu pemainnya meraikan kejayaan hasil usaha keras yang ditunjukkan sepanjang kempen peringkat kumpulan di Bali itu yang menyaksikan mereka menempuh laluan berliku sebelum mencipta kebangkitan.

"Ini masanya untuk meraikan (kejayaan) dan pemain lakukan apa yang mereka mahu. Selepas ini, kita akan menjalani proses pemulihan dan berdepan aksi Piala FA.

"Saya mahu pemain meraikan pencapaian ini kerana tidak mudah untuk memotivasikan pemain selepas kita berdepan pelbagai situasi. Tetapi pemain memberikan segalanya dan membuktikan kita adalah sebagai satu keluarga," katanya.

Terdahulu, skuad 'Kenari' mengiringi KL City FC apabila turut mara ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC selepas membelasah Visakha FC 5-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, malam tadi.

Kemenangan besar itu menyaksikan mereka mengungguli Kumpulan G dan menempah pertemuan dengan PSM Makassar yang menjuarai Kumpulan H.

Mengulas aksi berdepan wakil dari Kemboja itu, bekas jurulatih Home United itu mengakui ia bukanlah satu aksi yang mudah terutamanya selepas mereka hanya berkelebihan dengan satu gol untuk memasuki babak kedua.

"Kita bermain dengan baik pada babak pertama tetapi untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik, kita kena memperagakan aksi yang konsisten. Aksi separuh masa kedua perlu lebih mantap daripada 45 minit pertama.

"Saya dan pemain percaya bahawa mereka mampu menunjukkan permainan yang baik untuk pasukan. Saya ucapkan tahniah kepada pemain yang bekerja keras untuk memenangi perlawanan ini," katanya.

Berita Harian X