Rabu, 29 Jun 2022 | 6:50pm
Aidil memberi arahan ketika sesi latihan menjelang aksi penting menentang Visakha dalam saingan Piala AFC malam esok. - FB Kedah FC
Aidil memberi arahan ketika sesi latihan menjelang aksi penting menentang Visakha dalam saingan Piala AFC malam esok. - FB Kedah FC

Aidil gesa pemain terap mentaliti kemenangan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA), Aidil Sharin Sahak menegaskan semua pemainnya harus memiliki mentaliti kemenangan dalam usaha menjayakan misi wajib menang ke atas Visakha dalam aksi Piala AFC, esok.

Aksi berdepan kelab Kemboja itu di Stadium Kapten I Wayan Dipta menjadi perlawanan terakhir Kumpulan G dan akan menentukan nasib Sang Kenari sama ada layak atau tidak ke pusingan seterusnya.

Aidil menjelaskan, barisan pemainnya perlu bersedia sepenuhnya untuk mendapatkan tiga mata walaupun sedar Visakha adalah pasukan yang kuat selepas memenangi dua perlawanan berturut-turut.

Pengendali dari Singapura itu berkata, pasukannya tidak perlu memikirkan mengenai pasukan lawan sebaliknya harus percaya bahawa peluang seimbang dimiliki kedua-dua pasukan.

"Visakha adalah pasukan yang kuat, mereka memenangi dua perlawanan berturut-turut. Tapi dalam bola sepak kita kena percaya yang sebelum perlawanan kedudukan adalah 0-0.

"Kami akan bekerja keras untuk dapatkan tiga mata, itu perkara paling penting untuk kami esok. Kita akan lihat (taktikal) apa yang terbaik untuk Kedah dan semua pemain perlu bersedia dengan mentaliti untuk menang.

"Satu motivasi apabila peluang masih terbuka untuk semua termasuk pasukan Kedah. Saya tak tahu apa fikiran Visakha kerana mereka sudah selesa dengan kemenangan," katanya.

KDA kini menghuni tangga ketiga kumpulan dengan mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan, manakala Visakha di kedudukan teratas dengan enam mata.

Berita Harian X