Selasa, 28 Jun 2022 | 3:08pm
Fayadh (kiri) meraikan jaringan bersama Syazwan Zainon pada aksi Piala AFC menentang Kaya Iloilo malam tadi. FB Kedah FC
Fayadh (kiri) meraikan jaringan bersama Syazwan Zainon pada aksi Piala AFC menentang Kaya Iloilo malam tadi. FB Kedah FC

'Fayadh ubah permainan Kedah'

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA), Aidil Sharin Sahak memuji kerja keras yang dilakukan pemainnya hingga berjaya meraih kemenangan besar 4-1 ke atas Kaya Iloilo di Stadium Kapten I Wayan Dipta, malam tadi.

Ia adalah kemenangan pertama di raih Sang Kenari dalam Kumpulan G saingan Piala AFC selepas tewas 2-0 di tangan tuan rumah, Bali United pada aksi sulung, Jumaat lalu.

Aidil menjelaskan, kemenangan itu membuka peluang buat pasukannya untuk mengintai slot ke pusingan seterusnya selepas Bali United tewas dengan jaringan besar 5-2 di tangan Visakha.

"Alhamdulillah, kredit untuk semua pemain yang bekerja sangat keras malam ini. Kejayaan ini hadir kerana mereka sangat positif walaupun kami tewas di tangan Bali United pada aksi pertama.

"Mereka menunjukkan karakter yang baik dan saya fikir keputusan ini bagus untuk penyokong kami. Kami tahu apa kekuatan dan kelemahan Kaya sebelum perlawanan, jadi saya bercakap dengan pemain dan mereka memahami apa perancangan untuk perlawanan itu.

"Selepas kemasukan Fayadh (Zulkifli) di babak kedua, dia memberi impak apabila bermain di belakang penyerang, bukan sebagai pemain sayap. Saya fikir dia mengubah permainan dan terima kasih kepada Fayadh serta semua pemain," katanya selepas perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan KDA naik ke tangga ketiga Kumpulan G, berkongsi tiga mata dengan pasukan tangga kedua, Bali United.

Wakil Kemboja, Visakha yang menang semua dua perlawanan berada di kedudukan teratas dengan enam mata, sementara Kaya Iloilo pula menghuni tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

KDA sekali lagi akan membawa misi wajib menang apabila berdepan Visakha pada aksi terakhir kumpulan di gelanggang sama, Khamis ini.

Berita Harian X