Isnin, 27 Jun 2022 | 6:28pm
Aksi pemain UPNM (jersi kuning) dan pemain UKM pada final pertama Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022.
Aksi pemain UPNM (jersi kuning) dan pemain UKM pada final pertama Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022.

UPNM bawa bekalan tipis

KUALA LUMPUR: Pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meraih bekalan tipis selepas menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1-0 dalam aksi final pertama kejuaraan bola sepak Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022, semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium UPNM, Sungai Besi itu, tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong bermula garang apabila terus mengasak sebaik permainan bermula.

Ketua pasukan UPNM, N Thinesvarman meletakkan pasukannya di depan seawal minit kedua selepas berjaya meletakkan bola ke dalam gawang ketika berlaku kelam kabut di depan pintu gol UKM.

Tersentak dengan jaringan itu, UKM cuba bangkit dan peluang terbaik terbaik untuk mereka menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-35, namun percubaan Nazrin Aiman Azmi diselamatkan penjaga gol UPNM, G Navind Raj.

Babak kedua turut menyaksikan UKM terus menguasai permainan dengan gandingan Muhammad Imran dan Nazrin Aiman di bahagian tengah sukar diimbangi UPNM.

Bagaimanapun ketumpulan jentera serangan UKM menyempurnakan beberapa peluang terhidang selain UPNM juga bernasib baik kerana kecekapan Navind Raj menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan.

Kedua-dua pasukan akan bertarung sekali lagi pada aksi final kedua yang akan berlangsung di Stadium UKM, Bangi, 5 Julai ini.

Berita Harian X