Isnin, 27 Jun 2022 | 10:02am
Penyerang Paris Saint-Germain Kylian Mbappe mendakwa kelab itu hilang bisa di bawah kendalian Mauricio Pochettino. - Foto AFP
Penyerang Paris Saint-Germain Kylian Mbappe mendakwa kelab itu hilang bisa di bawah kendalian Mauricio Pochettino. - Foto AFP

Mbappe kritik era Pochettino

PARIS: Kylian Mbappe menegaskan Paris Saint-Germain semakin hilang bisa di bawah bimbingan bekas pengendali Mauricio Pochettino.

Pengendali 50 tahun dari Argentina itu dilaporkan sudah dipecat tetapi kelab belum membuat sebarang pengumuman rasmi.

PSG menjuarai Ligue 1 dengan kelebihan 15 mata tetapi kemampuan Pochettino di ibu kota Perancis itu diragui selepas kegagalan mereka dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Gergasi Perancis itu mensia-siakan kelebihan dua gol apabila hatrik Karim Benzema membolehkan Real Madrid mara ke suku akhir saingan itu musim lalu sebelum muncul juara.

"Musim lalu kami tidak lagi digeruni, dan semakin mudah dibolosi. Kami mahu kembali menjadi kuasa besar di Perancis, sesuatu yang tidak dilakukan sepanjang dua tahun lalu," kata Mbappe.

Penyerang 23 tahun itu, salah seorang pemain terbaik di dunia, menandatangani lanjutan kontrak tiga tahun yang menjadikannya pemain termahal di dunia. Dia turut diberi kuasa menentukan pertukaran pemain dan jurulatih.

"Sudah tentu Liga Juara-Juara adalah matlamat utama. Ia sasaran paling utama. Itu yang kami mahukan," katanya. - AGENSI'

Berita Harian X