Khamis, 23 Jun 2022 | 8:34pm
Gambar fail - Pemain (JDT), Bergson Da Silva (dua kanan). - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazaln.
Gambar fail - Pemain (JDT), Bergson Da Silva (dua kanan). - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazaln.

Import Brazil, Argentina paling berbisa aksi Liga Super

KUALA LUMPUR: Jika pasukan Liga Super mahukan pemain import yang 'pandai' menjaringkan gol, mereka boleh cuba ambil pemain import dari Brazil ataupun Argentina.

Ini kerana berdasarkan statistik selepas minggu ke-10 perlawanan Liga Super, lima pemain dari benua Amerika Selatan itu mengungguli senarai penjaring terbanyak bagi divisyen satu itu setakat ini.

Mendahului senarai adalah dua penyerang kelahiran Brazil yang ketika ini berada di senarai teratas penjaring terbanyak yang menyaksikan kombinasi dua penyerang ini berjaya menghasilkan 18 gol.

Bergson da Silva (Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Herlison Caion (Selangor FC) masing-masing meledak sembilan gol setakat ini dan pasti menjadi pencabar utama untuk perebutan Kasut Emas bagi musim ini.

Di sebalik prestasi terumbang-ambing, penyerang Kedah Darul Aman, Ronald Ngah berjaya menyumbat tujuh gol buat skuad Kenari dengan penggempur Cameroon itu menjadi satu daripada empat pemain yang melakar hatrik pada musim ini.

Tiga pemain meledak lima gol setakat ini iaitu penyerang PJ City FC, Darren Lok yang menjadi satu- satunya pemain kebangsaan berada dalam senarai; pemain dari Argentina yang beraksi bersama Sri Pahang FC (SPFC), Manuel Hidalgo serta pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC), Herold Goulon.

Seorang lagi penyerang skuad Harimau Selatan yang lahir di Argentina namun berketurunan Itali, Fernando Forestieri turut berada dalam senarai apabila meledak empat gol untuk membantu pasukannya itu mencatat lima kemenangan daripada enam perlawanan.

Pemain import kelahiran Brazil yang beraksi bersama KL City FC, Paulo Josue berkongsi jumlah jaringan yang sama dengan Forestieri, begitu juga pemain tengah Penang FC, Hilal el Helwe.

Lapan pemain menjaringkan tiga gol di mana majoritinya adalah pemain tempatan iaitu Zhafri Yahya, S Kumaahran, Baddrol Bakhtiar, Amri Yahyah, Azam Azih, Romel Morales, Boris Kok dan Hyuri Henrique.

Berita Harian X