Rabu, 22 Jun 2022 | 3:12pm
Pemain import TFC II, Jordan Mintah. - Foto ihsan FB TFC
Pemain import TFC II, Jordan Mintah. - Foto ihsan FB TFC

Mintah sertai KL City

KUALA TERENGGANU: Bukan lagi spekulasi, tapi sah penyerang sensasi Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah disambar juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Berita penghijrahan pemenang Kasut Emas Liga Perdana musim lalu itu sudah pasti menyedihkan peminat setia skuad The Turtles itu yang mengharapkan pemain itu kekal bersama skuad 'adik'.

Ketiadaan pemain berusia 27 tahun itu juga pastinya dirasai anak buah Badrul Afzan Razali dalam menghadapi pusingan kedua Liga Perdana serta kempen Piala Cabaran tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, kelab memutuskan untuk melepaskan Mintah kepada skuad The City Boys secara pinjaman sehingga tamat musim ini.

Katanya, proses rundingan antara pihaknya dan KL City FC berjalan lancar selepas satu persetujuan dicapai hari ini bagi membenarkan perpindahan pemain itu.

"Bagaimanapun antara syarat yang dipersetujui adalah KL City FC tidak boleh menurunkan pemain itu untuk aksi bertemu TFC atau TFC II sepanjang tempoh pinjaman sehingga 30 November ini.

"Mintah seterusnya akan kembali ke pangkuan TFC bagi memenuhi perjanjian kontraknya yang akan tamat pada hujung 2023," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, Mintah yang meledak 16 gol musim lalu dalam pentas Liga Perdana ketika bersama TFC II memulakan kempen musim ini dengan perlahan sebelum menemui sentuhan jaringan dengan koleksi tujuh gol dalam sembilan perlawanan dan membantu TFC II menduduki tangga ketiga liga setakat ini.

Terdahulu tersebar perbualan melalui aplikasi WhatsApp penyerang itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, tapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila dia memilih untuk bersama skuad bimbingan Bojan Hodak.

Berita Harian X