Rabu, 22 Jun 2022 | 6:53am
Jurulatih Nice, Christophe Galtier dikatakan sedang berbincang untuk menyertai PSG. - REUTERS
Jurulatih Nice, Christophe Galtier dikatakan sedang berbincang untuk menyertai PSG. - REUTERS

PSG nafi cuba dapatkan Zidane

PARIS: Presiden Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi menegaskan dia "tidak pernah bercakap" dengan Zinedine Zidane untuk menjadi jurulatih.

Dalam temubual diterbitkan akhbar harian Perancis, Le Parisien semalam, dia berkata kelab "memilih pilihan lain."

"Kami tidak pernah bercakap dengannya, secara langsung atau tidak langsung," kata Al-Khelaifi tanpa menolak kemungkinan pihak lain di Qatar ada menghubungi bekas bintang Perancis itu.

"Apabila saya kata 'kami', ia bermakna PSG. Saya, saya ialah Presiden PSG dan saya tidak pernah bercakap dengannya."

Pegawai dari Qatar itu berkata kelab mahu bergerak ke arah yang berbeza.

"Kami memilih jurulatih yang akan menjadi yang terbaik untuk apa yang kami mahukan," kata Al-Khelaifi ketika dia mengesahkan sedang berbincang dengan bos Nice, Christophe Galtier.

"Saya harap kami akan mencapai persetujuan secepat mungkin tetapi saya menghormati Nice dan presiden (Jean-Pierre) Rivere, semua orang ada perancangan sendiri." - AFP

Berita Harian X