Isnin, 20 Jun 2022 | 8:14pm
Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, KPT, Dr Pekan Ramli (berbaju biru putih lengan panjang) bersama pemenang Liga Super Futsal IPT di UMT, Terengganu, semalam. - Foto ihsan KPT
Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, KPT, Dr Pekan Ramli (berbaju biru putih lengan panjang) bersama pemenang Liga Super Futsal IPT di UMT, Terengganu, semalam. - Foto ihsan KPT

Politeknik Malaysia juara Liga Super Futsal IPT 2022

KUALA LUMPUR: Politeknik Malaysia melakar sejarah menjuarai Liga Super Futsal Institusi Pengajian Tinggi (LFIPT) 2022 buat kali pertama selepas berakhirnya sirkit akhir kejohanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Politeknik Malaysia seharusnya berterima kasih kepada juara bertahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menumbangkan Kolej Politech MARA (KPTM) Bangi 7-4 sebelum itu sekaligus membolehkan kedudukan teratas dirampas yang melengkapkan aksi hari terakhir dengan membelasah KPTM 8-1.

Juara bertahan tiga kali berturut-turut, UiTM terpaksa berpuas hati selaku naib juara sementara tempat ketiga menjadi milik KPTM.

Malang menimpa dua pasukan Liga Super, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang terpaksa turun beraksi di Liga Premier musim depan.

Saingan Liga Premier pula diungguli Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas diturunkan dari Liga Super musim lalu manakala naib juara menjadi milik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Tenaga Nasional (UniTen) di tempat ketiga.

Ini menyaksikan empat pasukan Liga Premier layak beraksi pada Liga Super musim depan diketuai UPSI, UUM, UniTen dan Management and Science University (MSU).

Enam pasukan Liga Premier tersingkir untuk beraksi kembali pada pusingan kelayakan musim depan iaitu UPM, UTM, UTeM, UniSZA, UniMAP dan UMT.

"Selepas penyertaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) tahun ini, saya dapati pemain Futsal IPT begitu bersemangat sekarang ini.

"Saya akui ramai yang sangat berbakat dan kita harap mereka jangan mewakili pasukan luar untuk bersama dengan pasukan KPT-PST Mustangs pada MPFL musim depan," kata Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, KPT, Dr Pekan Ramli.

Berita Harian X