Khamis, 16 Jun 2022 | 3:02pm
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon (baju hitam) menerima sorakan daripada penyokong ketika meraikan kemenangan mengalahkan pasukan Bangladesh 4-1 sekali gus layak ke Piala Asia. - NSTP/Aizuddin Saad
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon (baju hitam) menerima sorakan daripada penyokong ketika meraikan kemenangan mengalahkan pasukan Bangladesh 4-1 sekali gus layak ke Piala Asia. - NSTP/Aizuddin Saad

Magis Pan Gon

MENAMATKAN penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke pentas Piala Asia 2023 menjadi pencapaian terbesar buat Harimau Malaya selepas arena bola sepak negara memasuki era profesional.

Ia juga mengatasi pencapaian manis sebelum ini ketika skuad negara di bawah bimbingan Datuk K Rajagobal memenangi kejuaraan Piala AFF buat kali pertama dan terakhir pada 2010.

Selepas itu, skuad senior Harimau Malaya dilihat lebih banyak ditimpa malang dan duka termasuk di Piala AFF dan pentas lebih besar dalam kempen kelayakan Piala Dunia serta Piala Asia.

Jurulatih silih berganti ditukar oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) demi mencari 'sifu' yang boleh mengubah nasib Harimau Malaya ketika penyokong yang dahagakan kejayaan terus mendesak.

Malah, sejak kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia dengan kelayakan secara merit pada 1980, seramai 23 jurulatih sudah bertukar tangan termasuk Karl-Heinz Weigang yang membimbing Harimau Malaya dari 1979 hingga 1982.

Banyak luka dan 'kudis' yang terlekat pada Harimau Malaya susulan beberapa siri kegagalan termasuk di gelanggang yang hanya membabitkan persaingan rantau Asia Tenggara iaitu Piala AFF.

Paling terbaru, gagal di kelayakan Piala Dunia 2022 di Emiriah Arah Bersatu (UAE) tahun lalu dan lebih buruk apabila Harimau Malaya tersingkir awal di peringkat kumpulan Piala AFF di Singapura tahun lalu.

Namun, kehadiran individu dari Korea Selatan, Kim Pan Gon ke pasukan kebangsaan pada awal tahun ini seakan memberi nafas baharu dan membawa perubahan positif buat Harimau Malaya.

Walaupun hanya hadir sejak tiga bulan lalu, namun sentuhan ajaib Pan Gon tampak menjadi apabila dia berjaya merealisasikan impian ke pusingan akhir Piala Asia walaupun pada awalnya ramai yang menganggap dia tidak cukup masa untuk mengasah taring Harimau Malaya.

Entah apa yang dilakukan pengendali berusia 53 tahun itu hingga pemain Harimau Malaya tampil dengan penuh bertenaga menekan lawan, tidak lagi lemau dan pergerakan lebih teratur di segenap posisi.

Segalanya tampak berubah berbanding Harimau Malaya yang dulu yang mana dilihat lebih banyak bermain secara bertahan dan hilang punca untuk menerkam lawan.

Daripada pandangan mata kasar, Pan Gon ini mungkin individu yang tegas dalam diam dengan dia sentiasa mengelak daripada memberi komen terhadap prestasi individu pemainnya.

Pun begitu, dalam diam itu juga dia bertindak memperbaiki kelemahan dalam pasukan dan paling ketara boleh dilihat pada aksi menentang Bangladesh, kelmarin yang mana dia merehatkan penjaga gol nombor satu negara, Farizal Marlias dan meletakkan pemain yang baru menyertai skuad senior, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed di benteng terakhir.

Tidak dapat dipastikan sama ada ia sebagai satu hukuman ke atas Farizal dek kerana kesilapannya ketika menentang Bahrain, Sabtu lalu atau Pan Gon mahu menenangkan penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) itu selepas dikecam netizen.

Sebagai rumusan selepas pelantikannya sebagai bos Harimau Malaya pada tahun ini hingga perlawanan kelmarin, pilihan FAM memilihnya adalah tepat.

Malah, kejayaannya membawa Malaysia ke pentas Piala Asia 2023 boleh dikatakan merawat segala kudis yang sebelum ini terlekat pada Harimau Malaya.

Berita Harian X