Rabu, 15 Jun 2022 | 10:18am
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menerima sehelai baju daripada penyokong ketika meraikan kemenangan mengalahkan Bangladesh selepas perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menerima sehelai baju daripada penyokong ketika meraikan kemenangan mengalahkan Bangladesh selepas perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. NSTP/AIZUDDIN SAAD

'Dari Korea untuk Malaysia'

KUALA LUMPUR: Penyokong Harimau Malaya menghadiahkan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dengan baju tertulis 'Dari Korea untuk Malaysia' sebaik tamat perlawanan malam tadi.

Tulisan itu cukup besar pengertian dan mempunyai maksud tersirat yang menggambarkan perubahan Harimau Malaya dibawa jurulatih dari Korea Selatan itu.

Kehadiran Pan-gon awal tahun ini menyaksikan banyak perubahan dibawa beliau termasuklah mengubah corak permainan pasukan negara.

Jelas sekali, kehadirannya menyaksikan skuad Harimau Malaya lebih garang dan mencipta sejarah layak beraksi di pentas Piala Asia 2023.

Selain itu, Pan-gon dikenali sebagai individu yang cukup menghargai pengorbanan penyokong dan kerap memuji sokongan diberikan Ultras Malaya apabila tampil di perlawanan membabitkan pasukan negara.

Pan-gon akan diingati sebagai jurulatih yang berjaya menamatkan sumpahan pasukan negara apabila memastikan Malaysia beraksi di pentas tertinggi Asia itu.

Pan Gon yang pernah beraksi bersama kelab Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors di Korea Selatan pada era 1990-an, memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008).

Dia kemudian bergelar ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan kembali ke Hong Kong (2012-2017).

Beliau menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada 2 Januari 2022 dengan mengambil tanggungjawab susulan prestasi hambar pasukan Harimau Malaya yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF 2020 di Singapura.

Berita Harian X