Selasa, 31 Mei 2022 | 2:17pm
Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. - Foto BERNAMA.
Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. - Foto BERNAMA.

Pan Gon tak kisah ranking Hong Kong

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon tidak kisah mengenai ranking pasukan Hong Kong yang berada di atas Malaysia menjelang pertembungan kedua-dua pasukan itu dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, malam esok.

Sebaliknya, apa yang menjadi fokus utama pengendali dari Korea Selatan itu adalah untuk mempersiapkan pasukan terbaik skuad Harimau Malaya sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023, bermula 8 Jun ini.

Mengakui Hong Kong pasukan yang kuat, beliau berkata ia menjadi medan terakhir yang baik untuk barisan pemainnya menguji kemampuan sebenar mereka sebelum menghadapi perlawanan lebih penting dalam kempen kelayakan.

"Saya tidak kisah," kata Pan Gon yang pernah membimbing Hong Kong pada 2009 hingga 2010 dan 2012 hingga 2017 ketika ditanya mengenai perbandingan ranking bekas pasukannya itu dengan Malaysia.

"Sudah pasti setiap jurulatih, setiap pemain hanya mengintai untuk mendapatkan kemenangan. Kami membangunkan bola sepak juga untuk meraih kemenangan.

"Untuk menang kami kena proaktif, dinamik, tidak melakukan kesilapan dan bersemangat tinggi. Ia antara perkara yang boleh membawa pasukan meraih kemenangan."

Skuad Harimau Malaya mengintai untuk menambah meningkatkan motivasi terbaik sebelum saingan kelayakan Piala Asia 2023 selepas berjaya menewaskan Brunei 4-0 dalam perlawanan persahabatan, Jumaat lalu.

Skuad Harimau Malaya akan membuka aksi Kumpulan E dalam kempen kelayakan berdepan Turkmenistan, 8 Jun ini sebelum menentang Bahrain (11) dan Bangladesh (14 Jun), dengan semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional.

Selain itu, Pan Gon turut menjelaskan bahawa perlawanan berdepan Hong Kong juga penting walaupun ia hanya berstatus aksi persahabatan.

"Setiap perlawanan adalah penting, ketika menentang Brunei, kami menghormati pasukan lawan, menghormati pemain. Kami cuba mewujudkan persekitaran yang baik, jadi bagi saya tiada perbezaan, cuma Hong Kong adalah pasukan yang lebih baik daripada Brunei," katanya.

Berita Harian X