Selasa, 24 Mei 2022 | 6:32pm
 Pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Junior Eldstal. - Foto ihsan FB FAM.
Pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Junior Eldstal. - Foto ihsan FB FAM.

`Sembang' 2 jam sebelum setuju sertai Pan Gon

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan, Junior Eldstal mendedahkan dia 'bersembang' dengan Kim Pan Gon selama dua jam dalam talian sebelum jurulatih berkenaan memanggilnya menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Dia yang beraksi bersama kelab Thailand, Chonburi FC menjelaskan penerangan daripada Pan Gon dalam perbualan itu meyakinkannya mengenai perancangan rapi skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan.

"Sebelum saya datang (ke kem latihan) dia (Pan Gon) ada hubungi saya, kami bercakap dalam 'zoom call' dua jam. Jadi dari situ saya tahu persiapan dia memang bagus.

"Kadang-kadang bila jurulatih baru datang dalam pasukan, untuk pemain sesuaikan diri dengan falsafah dia perlukan masa. Tapi, sebelum pemain datang dia bagi tahu bagaimana kita nak main.

"Jadi sebelum anda datang ke kem latihan anda sudah tahu bagaimana nak persiapkan diri, bagaimana nak main. Jadi rasa bagus," katanya.

Skuad kendalian Pan Gon terlebih dahulu akan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Brunei, Jumaat ini dan Hong Kong pada 1 Jun.

Ia sebagai persiapan terakhir sebelum skuad Harimau Malaya berdepan tiga perlawanan Kumpulan E dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dengan semua aksi itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selain itu, Junior menjelaskan semua pemain dan peminat harus melupakan kekecewaan sebelum ini terutama di Piala AFF tahun lalu dan membuka 'buku' baharu buat skuad Harimau Malaya.

"Jangan ingat perlawanan sebelum ini, dua tahun COVID-19 adalah tempoh sukar untuk kita semua. Jadi, sekarang kita macam permulaan yang baharu yang mana pasukan baharu, pemain baharu dan jurulatih baharu.

"Kita semua kena percaya dengan pasukan negara dan yang penting tiga perlawanan ini di Malaysia. Jadi dekat Bukit Jalil nanti kita bukan ada 11 pemain, tapi 12 yang mana kita ada penyokong juga," katanya.

Berita Harian X