Selasa, 17 Mei 2022 | 11:32pm
Pemain Sabah FC, Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan guntingnya pada perlawanan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. NSTP/MIKAIL ONG
Pemain Sabah FC, Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan guntingnya pada perlawanan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. NSTP/MIKAIL ONG

Sabah berpesta di laman Penang

GEORGETOWN: Sabah FC mendaki tangga kedua Liga Super selepas membenam Penang FC 4-2 di Stadium Bandaraya, malam ini.

Sang Badak bermula cemerlang dengan kapten, Baddrol Bakhtiar meletakkan pasukannya di hadapan hasil tandukan rendah selepas menerima umpan dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah dibantu gerakan cantik penyerang, Saddil Ramdani pada minit ke-22.

Sebelum itu, memasuki minit ke-15 perlawanan, sekurang-kurangnya empat percubaan ditujukan tepat ke arah gawang gol Sabah dengan dua daripadanya hampir sahaja membuahkan hasil melalui sepakan kencang pemain tengah, Muhamad Faizat Ghazali namun nasib tidak menyebelahi pasukan tuan rumah.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee terus melancarkan serangan demi serangan dalam percubaan mencetak gol dengan Penang kelihatan bertungkus-lumus memperkemaskan benteng pertahanan sebelum penyerang veteran Sang Badak, Amri Yahyah dilayangkan kad kuning pada minit-38.

Babak kedua pertempuran menyaksikan skuad Harimau Kumbang bangkit menjaringkan gol penyamaan selepas pemain tengah, T Saravanan menyudahkan percubaan awal oleh rakan sepasukannya, Casagrande selepas menerima hantaran daripada pemain tengah, Endrick dos Santos pada minit ke-52.

Tidak menunggu lama bekas pemain pertahanan kelab terkemuka di Brazil iaitu Sao Paulo, Jackson de Souza menjaringkan gol kedua Sang Badak pada minit ke-58 sebelum Baddrol sekali muncul sebagai hero pasukan dengan mencetak gol ketiga Sabah pada minit ke-60.

Pemain import kelahiran England, Stuart John menambah derita skuad Harimau Kumbang dan membuatkan pasukan tuan rumah seakan-akan hilang punca selepas menjaringkan gol keempat buat Sabah pada minit ke-66.

Penang ternyata tidak mudah mengalah dan terus mengasak benteng pasukan pelawat sebelum penyerang import dari Lubnan, Hilal El-Helwe berjaya menghadiahkan gol kedua pasukan itu pada minit ke-76.

Berita Harian X