Selasa, 17 Mei 2022 | 9:44am
Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian MBappe ketika menerima anugerah Pemain Terbaik Ligue 1 di Paris. - AFP
Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian MBappe ketika menerima anugerah Pemain Terbaik Ligue 1 di Paris. - AFP

'Masa depan Mbappe bukan di PSG'

LONDON: Kylian Mbappe dilaporkan bersetuju dengan perjanjian lima tahun bersama Real Madrid selepas memuktamadkan bahawa masa depannya bukan di PSG.

Kontrak pemain berusia 22 tahun itu di Paris tamat musim panas ini dan wujud spekulasi berterusan di mana dia akan bermain musim depan.

Setakat ini Mbappe enggan komited kepada PSG atau Real Madrid tetapi pada majlis anugerah Ligue 1 semalam, dia menggambarkan bahawa pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.

Menurut Marca, penyerang itu akan menandatangani perjanjian dengan juara Sepanyol berkenaan sehingga 2027 selepas berkunjung ke Madrid untuk perbincangan minggu lalu.

Laporan berkenaan mendakwa bahawa gaji Mbappe di Bernabeu akan lebih rendah berbanding jumlah ditawar PSG jika dia kekal di Ligue 1.

"Saya tidak boleh bercakap banyak mengenai masa depan saya, anda akan tahu tidak lama lagi… ia hampir dimuktamadkan," kata bintang antarabangsa Perancis itu.

"Ini bukanlah masa yang sesuai tetapi benar... keputusan saya sudah hampir dimuktamadkan".

The Athletic melaporkan bahawa Mbappe sudah bersetuju dengan syarat peribadi bersama Madrid walaupun dia masih belum menandatangani sebarang perjanjian menjelang perpindahan pada musim panas.

Los Blancos cuba mendapatkan Mbappe musim panas lalu tetapi PSG beberapa kali menolak tawaaran bernilai kira-kira £154 juta (RM834.85 juta). - AGENSI

Berita Harian X