Isnin, 16 Mei 2022 | 7:36am
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan) bersalaman dengan pemain West Ham, Mark Noble selepas pertemuan di London, Britain. - EPA
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan) bersalaman dengan pemain West Ham, Mark Noble selepas pertemuan di London, Britain. - EPA

Guardiola lega City bangkit berdepan West Ham

LONDON: Manchester City mencicirkan dua mata selepas seri 2-2 berdepan West Ham United malam tadi tetapi pengurus, Pep Guardiola gembira nasib pasukan pendahulu Liga Perdana itu masih kekal dalam tangan mereka.

City bangkit selepas ketinggalan 2-0 untuk mendapatkan satu mata di Stadium London dan masih kekal mendahului dalam saingan merebut gelaran bersama Liverpool.

Ketika Liverpool akan bermain menentang Southampton awal pagi Rabu ini, City berpeluang mencipta jurang enam mata di persada tetapi seri menyebabkan mereka hanya empat mata di depan skuad kendalian Juergen Klopp berbaki satu perlawanan.

Kemenangan pada hari terakhir di laman sendiri berdepan Aston Villa akan memastikan gelaran buat City tanpa mengambil kira keputusan Liverpool berdepan Southampton dan Wolverhampton Wanderers.

Mereka boleh menang gelaran awal pagi Rabu ini jika Liverpool tewas di tangan Southampton.

"Ia dalam tangan kami, itu bagus," kata Guardiola.

"Adalah sesuatu yang sempurna untuk menang hari ini tetapi West Ham bertarung untuk Liga Europa League dan melalui musim yang menakjubkan. Rumit untuk menyerang mereka dan bermain menentang mereka sangat sukar."

Ia adalah kali pertama City bangkit daripada ketinggalan dua gol pada aksi liga utama sejak 2012.

"Ia kebangkitan yang hebat," kata Guardiola. "Saya rasa kami bermain perlawanan yang sangat bagus. Mereka (West Ham) sangat bagus ketika menukar permainan.

"Tapi kami berbincang selepas babak pertama, 'Jangan putus asa. Jaringkan satu gol dan kami akan kembali ke perlawanan'. Kami menjaringkan gol pada awal babak kedua dan selepas itu kami ada satu peluang.. ia keputusan yang adil."

City akan memastikan gelaran keempat dalam lima musim jika mereka menewaskan Villa.

"Ia bukanlah mudah, ada pelbagai emosi. Kami perlu berlatih, tenang dan tiba dengan segar. Kami ada masa seminggu dan akan lakukan apa sahaja dalam perlawanan itu untuk menang gelaran," kata Guardiola. - REUTERS

Berita Harian X