Khamis, 12 Mei 2022 | 9:05am
Pemain Inter meraikan kejayaan bersama trofi Piala Itali selepas menewaskan Juventus di Stadium Olimpico dekat Rom. - EPA
Pemain Inter meraikan kejayaan bersama trofi Piala Itali selepas menewaskan Juventus di Stadium Olimpico dekat Rom. - EPA

Inter juara Piala Itali

ROM: Inter Milan meraih gelaran kelapan Piala Itali apabila mengatasi seteru lama, Juventus 4-2 selepas tambahan masa yang penuh kontroversi.

Ivan Perisic memastikan kemenangan dengan dua gol pada separuh masa pertama tambahan masa tetapi perlawanan berterusan selepas lawan diberikan penalti dengan Hakan Calhanoglu meledak jaringan bagi membawa perlawanan melepasi 90 minit.

Juve mendahului hasil gol pantas Alex Sandro dan Dusan Vlahovic pada awal babak kedua dan keputusan pengadil, Paolo Valeri memberikan penalti selepas Lautaro Martinez dijatuhkan berikutan sentuhan lemah Leonardo Bonucci yang menyemarakkan semangat skuad kendalian Massimiliano Allegri.

"Saya sentiasa merasakan kami boleh melakukannya, walaupun kami ketinggalan 2-1... Kami hilang tumpuan pada 10 atau 15 minit tetapi bangkit dan saya rasa kami berhak menang," kata Perisic kepada Mediaset.

Bagi Inter ia satu lagi kejayaan mengatasi Juve selepas kemenangan kontroversi di Turin bulan lalu dan menewaskan mereka pada Piala Super Itali awal musim ini menambah semangat dalam pemburuan gelaran Serie A.

Skuad kendalian Simone Inzaghi itu ketinggalan dua mata di belakang AC Milan dan boleh memberikan pencabar dari bandar yang sama itu gelaran Scudetto jika mereka tidak menewaskan pasukan diancam penyingkiran, Cagliari Ahad ini.

Sementara itu Juve pula hanya perlu layak ke Liga Juara-Juara musim ini dan mereka tidak berkata apa-apa mengenai keputusan penalti itu yang menafikan mereka satu trofi musim ini.

"Inter bertarung untuk gelaran liga dan kami di belakang mereka. Kami perlu kurangkan jurang itu dengan kerja keras dan kami akan melihat pasukan," kata Allegri. - AFP

Berita Harian X