Ahad, 8 Mei 2022 | 11:04pm
Penyerang Terengganu FC II, Engku Nur Shakir Engku Yacob (kiri) berebut bola dengan pemain Kelantan FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. FOTO Bernama
Penyerang Terengganu FC II, Engku Nur Shakir Engku Yacob (kiri) berebut bola dengan pemain Kelantan FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. FOTO Bernama

Kelantan buat TFC II 'menangis'

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II) 'menangis' di laman sendiri selepas tumpas 1-0 kepada Kelantan FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Bagaimanapun kemenangan skuad Kijang Emas itu gagal merubah kedudukan mereka dalam carta liga apabila kekal menghuni di tangga kedua di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) walaupun berkongsi 18 mata.

Terdahulu skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang mahu meneruskan rentak kemenangan bermula garang dengan melakukan asakan awal menerusi 'ayam tambatannya', Jordan Mintah, namun berjaya dipatahkan pertahanan lawan.

Ketika The Turtles kerap mengasak kubu pelawat, skuad kendalian Rezal Zambery Yahya berjaya melakukan kejutan apabila mendahului tuan rumah menerusi jaringan kapten, Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-29.

Jaringan itu berpunca dari hantaran lintang penyerang kelahiran Indonesia, Natanael Siringo Ringo sebelum pemain kelahiran Melaka itu berjaya melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti yang gagal ditepis keluar penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Malang berganda buat skuad TFC II apabila pertahanan importnya, Argzim Redzovic di perintah keluar padang oleh pengadil, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi pada minit ke-36 selepas mengasari Natanael.

Bersambung babak kedua, pelawat terus mengasak ke kubu tuan rumah untuk menambah jaringan, namun dua percubaan tepat menerusi penyerang kelahiran Brazil, Guylherme Brizolara pada minit ke-53 dan Muhammad Farhan Roslan tiga minit berselang berjaya digagalkan penjaga gol.

Pada minit ke-70, tuan rumah mendapat sepakan percuma berdekatan kotak penalti yang diambil Mintah, tapi bola sepakan pemain kelahiran Ghana itu gagal menerjah jaring gol sekali gus kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat.

Berita Harian X