Ahad, 8 Mei 2022 | 11:40am
Penyerang Chelsea Romelu Lukaku (tengha) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge, London. - Foto REUTERS
Penyerang Chelsea Romelu Lukaku (tengha) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge, London. - Foto REUTERS

Lukaku akhiri kemarau jaringan

LONDON: Bintang Chelsea Romelu Lukaku menamatkan kemarau jaringan Liga Perdana Inggeris dengan meledak dua gol ketika menentang Wolverhampton Wanderers.

Lukaku membuka jaringan di Stamford Bridge pada minit ke-56 menerusi sepakan penalti dan menambah jaringan untuk tuan rumah dua minit kemudian.

Ia adalah gol liga pertama penyerang Belgium itu selepas 129 hari tidak menggegar gawang sejak 29 Disember ketika Chelsea seri 1-1 menentang Brighton di laman sendiri. Ia juga adalah gol liga pertama Lukaku tahun ini.

Kali terakhir dia menjaringkan gol dalam mana-mana pertandingan ialah pada 10 Mac - ketika Chelsea menewaskan Middlesbrough 2-0 pada suku akhir Piala FA di Stadium Riverside.

Skuad kendalian Thomas Tuchel bagaimanapun mensia-siakan kelebihan dua gol itu apabila Wolves menyamakan kedudukan menerusi Francisco Trincao dan Conor Coady pada minit ke-79 dan minit ketujuh masa kecederaan.

Lukaku, 28, kembali menyarung jersi The Blues pada musim panas lalu dari Inter Milan tetapi gagal memberi impak musim ini walaupun bermula dengan baik.

Perlawanan di Stamford Bridge itu turut disaksikan pemilik baharu Chelsea, Todd Boehly yang bersetuju membeli kelab itu daripada Roman Abramovich pada harga 4.25 bilion pound (RM19.59 bilion). - AGENSI

Berita Harian X