Selasa, 3 Mei 2022 | 9:59am
Bintang Real Madrid dan sokongan padu penyokong di Stadium Santiago Bernabeu akan menjadi halangan utama City pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara. - AFP
Bintang Real Madrid dan sokongan padu penyokong di Stadium Santiago Bernabeu akan menjadi halangan utama City pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara. - AFP

Guardiola tak gentar halangan Bernabeu

LONDON: Pep Guardiola meminta bintang Manchester City untuk menunjukkan "personaliti" mereka ketika pengendali dari Sepanyol itu cuba merancang satu lagi kunjungan yang berjaya ke Real Madrid pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Skuad kendalian Guardiola akan ke Madrid dengan kelebihan tipis 4-3 selepas aksi pusingan pertama di Stadium Etihad.

Sambil mempertaruhkan usaha untuk ke final Liga Juara-Juara, Guardiola boleh berasa selesa dengan rekod diciptanya dekat stadium Real, Bernabeu.

Banyak pasukan diperkuatkan bintang gagal ketika berkunjung menentang gergasi Eropah itu di venue berkenaan.

Namun Guardiola tidak pernah gentar dengan prospek berdepan Real di laman mereka apabila menang enam kali dan tewas hanya sekali dalam sembilan kunjungan ke sana bersama City, Barcelona dan Bayern Munich.

Guardiola menandakan kemunculan pertamanya selaku bos Barcelona di Bernabeu dengan membelasah Real, 6-2 pada 2009.

Dia juga mengatur kemenangan 2-0 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Real pada 2011 yang seterusnya membawa Lionel Messi dan pasukannya meraih trofi kedua Liga Juara-Juara.

Ketika City jelas menjadi pasukan lebih baik pada pusingan pertama berdepan Real minggu lalu, mereka tidak mampu membenam terus cabaran lawan itu kerana penyudah kurang berkesan selain pertahanan longgar.

Berdasarkan itu, Guardiola tidak memandang rendah skuad kendalian Carlo Ancelotti dengan berkata: "Saya tewas dan menang berdepan mereka. Anda bermain beratus kali menentang pencabar anda, anda menang dan tewas dan tiada satu pun (sejarah lalu) memberi kesan.

"Bakat yang mereka ada, hanya satu cara untuk menewaskan mereka ialah menjadi lebih baik." - AFP

Berita Harian X