Selasa, 26 April 2022 | 8:04am
Reaksi pemain Manchester United Paul Pogba ketika diejek penyokong sendiri di Old Trafford. - Foto AGENSI
Reaksi pemain Manchester United Paul Pogba ketika diejek penyokong sendiri di Old Trafford. - Foto AGENSI

Pogba keluar kumpulan WhatsApp United

MANCHESTER: Paul Pogba keluar daripada kumpulan WhatsApp Manchester United menjelang perpindahannya musim panas ini.

Pemain Perancis itu dilaporkan beraksi buat kali terakhir untuk United ketika kekalahan 4-0 di tangan Liverpool minggu lalu.

Kontrak Pogba, 29, akan tamat Jun ini dan dia menolak tawaran daripada kelab untuk melanjutkan kontrak di Old Trafford.

Menurut rakan sepasukan, Pogba memberitahu mereka yang dia akan meninggalkan kelab akhir musim ini. Ia disusuli dengan pemain itu keluar daripada kumpulan WhatsApp kelab.

Pogba dikatakan mendapat tawaran dari Real Madrid dan Paris Saint-Germain, yang sedia menandatanganinya sebaik kontraknya tamat.

Pemain tengah itu antara ejen bebas yang berada dalam radar Madrid, dengan Antonio Rudiger dan Kylian Mbappe turut menjadi sasaran kelab gergasi Sepanyol itu.

Hubungan Pogba dengan penyokong United juga semakin keruh apabila dia meletakkan tangan di telinganya ketika diejek penyokong sendiri dalam kemenangan 3-2 ke atas Norwich di Old Trafford.

"Sukar untuk kekal konsisten di Manchester United kerana posisi anda sering bertukar, atau sistem pasukan, atau gandingan anda.

"Saya tahu peranan saya ketika bersama Perancis. Tetapi adakah saya mempunyai peranan di sini? Saya tidak mempunyai jawapannya," kata Pogba ketika berada di kem latihan Perancis Mac lalu. - AGENSI

Berita Harian X