Isnin, 25 April 2022 | 11:34am
Kontrak Mauricio Pochettino bersama Paris Saint-Germain masih berbaki setahun. - Foto AFP
Kontrak Mauricio Pochettino bersama Paris Saint-Germain masih berbaki setahun. - Foto AFP

Gelaran Ligue 1 tidak cukup buat PSG

PARIS: Paris Saint-Germain dilaporkan akan memecat pengendalinya Mauricio Pochettino walaupun berjaya memenangi gelaran Ligue 1.

PSG mengesahkan kejuaraan selepas seri 1-1 menentang Lens Sabtu lalu, tetapi kejayaan memenangi liga tidak mampu menebus kekecewaan tersingkir di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.

Bekas bos Tottenham itu antara calon membimbing Manchester United musim depan, tetapi Red Devils sudah mengesahkan Erik ten Hag bakal mengambil alih pasukan daripada Ralf Rangnick musim panas ini.

Pochettino juga dikatakan sudah tidak berminat untuk meneruskan projek bersama barisan pemain bintang PSG walaupun kontraknya masih berbaki setahun bersama kelab gergasi Perancis itu.

Media Perancis mendakwa pengendali Tottenham, Antonio Conte bersedia berpindah ke Paris untuk kontrak selama dua tahun.

Pengendali dari Itali itu berjaya mengubah nasib Tottenham dengan meletakkan mereka kembali bersaing untuk kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Spurs kini di tangga kelima liga, dua mata di belakang Arsenal dengan lima perlawanan berbaki musim ini.

Selain Conte, bekas pengendali Real Madrid Zinedine Zidane juga antara calon yang menjadi sasaran PSG. Bagaimanapun Zidane dikatakan lebih berminat menggantikan Didier Deschamps bersama skuad kebangsaan Perancis. - AGENSI

Berita Harian X